27.10.13

Relevankah Memberi Nasihat Kepada Orang Sedang Berputus Asa?

Secara fitrahnya, individu yang berputus asa akan meluahkan dukacitanya itu kepada orang yang paling dekat dengan hatinya sama ada ahli keluarga mahupun sahabat karib.

Namun, nasihat yang seringkali kita dengar (mahupun diberikan) kepada individu tersebut adalah :

  • Allah itu Maha Adil. Dia uji sebab dia sayangkan kau sabarlah.
  • Kuatkan hati kau, bila kau bersabar Allah akan membalas semua itu dengan berita gembira.
  • Sabarlah, ada hikmah di sebaliknya. Itu semua ketentuan-Nya.
Masih relevankah memberi nasihat dengan menyuruh mereka bersabar?

Bukan mencabar ketentuan takdir atau mahu membuktikan bahawa sabar itu tidak perlu.

Tapi, sedarkah kita bahawa mereka memerlukan sokongan kita, mereka berkongsi rasa dengan harapan kita mampu mengurangkan beban jiwa mereka?

Dua Situasi Berbeza Dalam “Berputus Asa”

Ya, mereka tahu mereka perlu bersabar, mereka tahu mereka perlu menerima takdir, tetapi hati mereka belum cukup kuat untuk semua itu.

Saya pernah berada di dalam dua-dua situasi ini, memberi nasihat kepada orang yang berputus asa dan menjadi orang yang berputus asa.

Situasinya sangat berbeza.


Menjadi pemberi nasihat kadang kala membuatkan diri kita memandang rendah kepada orang berputus asa kerana mereka seolah-olah tidak mahu menerima takdir.

Menjadi orang yang berputus asa pula adalah sangat mendukacitakan bila mana kita menyedari bahawa hidup itu tidak semudah yang diperkatakan dan orang disekeliling kita hanya pandai berkata-kata.

Selepas menjadi orang yang berputus asa, saya menyedari bahawa orang-orang yang berputus asa memerlukan sokongan lebih dari sekadar menasihatkan mereka untuk bersabar.

Hanya individu yang melalui situasi itu yang mengerti situasi sebenar mengapa mereka sukar untuk melangkah pergi atau menjadi kuat dalam tempoh terdekat.

Berkongsi duka belum mampu menjelaskan situasi mahupun punca sebenar.

Hanya individu tersebut yang mampu mengubah dukacitanya itu kepada kekuatan hati.

Kita seharusnya tidak hanya menggalakkan mereka untuk bersabar tetapi kita harus menyatakan bahawa betapa teringinnya kita untuk melihat mereka gembira dan bahagia serta meninggalkan tompok dukacita itu.Hanya dengan keinginan mereka sendiri, mereka mampu bangkit dari putus asa itu.


Berikan mereka masa untuk menyendiri.

Jangan terlalu memaksa mereka untuk bersabar dan menerima takdir. Ingatkanlah seperti mana Allah yang selalu ada untuk hamba-Nya, kita juga berusaha untuk sentiasa berada di sisi mereka.

Mungkin kita tidak memahami situasi mahupun perasaan sebenar mereka yang sedang berputus asa, namun kita akan berusaha sebaik mungkin untuk memahami keadaan mereka.


  • Bertabahlah wahai hati-hati yang sedang berdukacita. 


  • Kuatkan pasakmu wahai hati-hati yang sedang berputus asa.


Sumber Altikel: Ummu Hani Yahya


*Semoga dapat memberi manfaat kepada semua

No comments:

Post a Comment