29.11.12

Tak Habis - Habis Jaga Imej


kita semua pasti pernah merasa harus menjaga imej @ penampilan diri, padahal keadaan tersebut tidak menuntut kita untuk berbuat demikian. Perasaan ini biasanya muncul kerana kita malu untuk menjadi diri sendiri. Lantas ia mendorong diri untuk menjadi seorang yang bukan diri sendiri. Semuanya dilakonkan untuk menimbulkan kesan yang dapat mengundang perhatian dan pujian orang lain ..
ini bermakna saat itu kita bukanlah diri kita yang sebenarnya. Kita adalah orang lain.
Kita malu tampil dengan apa yang ada pada diri sendiri. Sehingga harus menjadi orang lain dan berperanan menjadi orang yang bukan diri kita sendiri. Kalau seandainya kita memang harus menjaga diri, tidak terlalu asing dan kekok dalam bergaul, itu tidak mengapa. Selama bergaul dengan orang yang berlainan jantina dengan kita, bolehlah kita berhati – hati dan menjaga imej diri demi menjaga kehormatan diri.
Ini kerana kadangkala kalau kita terlalu akrab dengan kawan lelaki misalnya, ia boleh menimbulkan pandangan yang negatif, malah mungkin sahaja akan disalahertikan. Tetapi bila pergaulan kita hanya sesama akhwat muslimah, sebaiknya kita tidak perlu terlalu menjaga imej diri sehingga  terpaksa  menjadi orang lain. Kita tidak perlu terlalu menutup diri daripada orang lain, dan tidak mahu mencuba untuk menjadi lebih terbuka. Hal ini tidak bagus bagi diri kita.
Sebarkan kebaikan dan keramahan kita kepada sesama muslimah. Berusahalah untuk membahagiakan mereka dengan sikap yang terbuka, ramah dan pandai bergaul yang ada dalam diri kita. Berusahalah untuk meraih simpati mereka sedalam mungkin dan mencuba menjadi sebahagian dari hidup mereka. Dan lebih penting cuba menjadi seorang yang dapat memberikan manfaat kepada mereka.
Berusahalah untuk memahami persoalan mereka dan membantu  mereka mencarikan solusi atau jalan penyelesaian yang terbaik. Semoga dengan cara itu kita mampu membantu mereka sekali gus dapat menjadikan diri sebagai seorang yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain.
Ubahlah persepsi dalam memandang orang lain. Jangan selalu menaruh perasaan curiga. Jangan sering merasa bahawa orang lain akan mendatangkan celaka kepada kita, merugikan kita dan akan membuat kita menderita. Ubahlah persepsi semacam itu. Ubahlah ia menjadi persepsi yang menyejukkan. Ingatlah bahawa dengan mengenali ramai teman, kita boleh menambah wawasan. Ia membantu kita untuk mendapatkan kebahagiaan bersama-sama membangun sebuah pergaulan sihat dan selamat sesama rakan.
Nota Rujukan:- Engkau Memang Cantik (Burhan Sodiq)