Selawat dan salam buat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, para keluarganya, para sahabatnya, dan pada umat baginda sallallahu alaihi wasallam.
Kita pernah mengalami juga pernah merasai ujian dalam kehidupan. Mungkin, ujian sewaktu muda mudi dahulu, kita berhadapan dengan ujian bertulis.
Ujian hitam dan putih sewaktu berada di alam pembelajaran di sekolah, universiti, kolej, madrasah, dan bermacam lagi. Begitu juga dengan bekerja.
Beberapa sektor pekerjaan masih menggunakan ujian di atas kertas sebagai menaikkan taraf dan mutu pekerja dan syarikat.
Jika direnungkan seketika, ujian itu pelbagai. Dan hasil daripada ujian juga pelbagai. Bermacam-macam.
Soalnya, ujian itu ada untuk kita.Ujian dan kita
Dahulu… sewaktu menjadi seorang pelajar sekolah, saya tidak lari daripada ujian. Ada ujian itu, ujian ini, dan banyak lagi. Namun, ada beberapa perkara yang melekat pada memori diri.
Ada satu ketika semasa musim ujian, saya berasa tidak tenteram. Tidak tenang. Walaupun pada ketika itu telah membuat beberapa persediaan, akan tetapi diri tidak mampu untuk menipu.
Melihat rakan lain, ada yang ceria dan tidak peduli. Mereka, boleh berbuat apa yang mereka ingini dan hajati. Ada juga yang yang terlalu peduli dan stress. Mereka tidak duduk senang walaupun posisi mereka agak senang. Dan ini membuatkan saya gelisah.
Saya meletakkan diri saya di tengah-tengah. Dan yang membuatkan saya rasa bersalah, saya tidak mahu mengambil ujian sekalipun saya akan berhadapan dengan ujian.
Tidak mahu mengambil risiko. Tidak mahu membuat keputusan. Takut! Seram!!
Tamat sahaja alam persekolahan, saya cuba melibatkan diri dengan alam pekerjaan.
Pesan emak, “Sambil tunggu keputusan, lebih baik gunakan masa sekejap ni pergi kerja. Timba pengalaman. Belajar cari duit. Biar tahu sedikit, susah atau senang kerja itu.”
Saya setuju.
Matlamatnya mudah. Pergi kerja, dan hujung bulan bawa pulang wang. Tanpa disangka, ia bukan mudah. Ketika itu, saya hanya bekerja dalam tempoh satu minggu dan berhenti.
Alasan yang saya ajukan, ‘saya dapat tawaran sambung belajar.’
Hebat!
Namun, secara jujur, saya masih lagi mentah. Tidak mampu menghadapi ujian. Saya lemah.
Di alam persekolahan, kita lebih fokus pada ujian bertulis. Berbanding pula di alam pekerjaan, kita lebih fokus pada ujian kehidupan. Semuanya tentang ujian.
Saya terfikir, kenapa mesti ujian?
Ujian itu untuk kita
Kekadang, ujian itu sedikitpun tidak kita pinta. Secara tiba-tiba ia hadir untuk kita. Apa yang pasti, kita tidak boleh lari. Makin kita lari, makin pula ujian mendekati.
Lari itu tidak akan menyelesaikan ujian. Sebaliknya, ia menambahkan, dan membebankan ujian yang kita hadapi itu sendiri. Mahu atau tidak, kita perlu menerima ujian itu.
Baik atau buruk, itulah ujian.
Sebelum menghadapi ujian kubur, mukadimahnya adalah ujian semasa kita hidup. Ujian adalah pembelajaran dan pendidikan daripada Tuhan.
Juga, ujian itu adalah anugerah dan hadiah pada setiap insan. Hidup yang tiada turun dan tiada naik, umpama mati.
Asam garam kehidupan.
Hasil daripada ujian
Kalau ujian bertulis itu mempunyai markah dan juga grednya, ujian kehidupan juga ada habuannya. Salah satu yang saya boleh berkongsi adalah ketenangan jiwa.
Ya, ketenangan itu tidak semua yang memperolehinya. Namun, sesiapa sahaja boleh mendapatkannya sekiranya berusaha tanpa putus asa dan juga betul pada caranya.
Caranya bukan sahaja pada proses menghadapi ujian semata. Tetapi, ia bermula pada peringkat awal kita menerima ujian tersebut. Jika baik, dan prosesnya juga baik, hasilnya pasti baik.
Ingat, hasil ujian yang menimpa keatas setiap diri kita, bukan sahaja membuatkan kita tenang mahupun damai. Ujian juga adalah perkhabaran daripada Tuhan supaya kita terus taat dan setia kepada-Nya.
Adakah ujian yang datang pada kita itu membuatkan diri kita jadi lebih baik atau sebaliknya? Adakah ujian yang hadir itu membuatkan kita lebih dekat atau lebih jauh daripada-Nya?
Dengan ujian, kita mengenali kehidupan. Dengan ujian, kita mengenali Tuhan. Andai tiada ujian, pasti beku iman!
#Semoga memberi manfaat kepada semua yang membaca.. Barakallah fii kum..
No comments:
Post a Comment