Allah SWT sentiasa memberi peluang kepada hamba-Nya yang masih berbuat dosa untuk kembali ke pangkal jalan. Sesungguhnya Allah SWT masih memberi peluang kepada kita dan sekarang adalah waktu untuk kembali ke jalan-Nya.
Firman Allah SWT:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah juga yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Zumar, ayat 53)
"Nabi Musa kemudian menyampaikan perkara itu kepada kaumnya. Di kalangan kamu ada seseorang yang melakukan maksiat. Allah tidak akan menurunkan hujan sehingga orang itu keluar dari kawasan ini"Ringan beban di akhirat
Sesungguhnya Allah ingin meringankan beban kita di akhirat kelak. Adakah kita bergegas untuk bertaubat atau mengambil sikap tunggu dan lihat. Jika itu pilihannya, ternyata kita masih memiliki sifat ego atau kesombongan dalam diri.
Mungkin ramai dalam kalangan kita mengambil sikap diam membisu dan ini akan memburukkan keadaan serta menghancurkan harapan yang telah dibina. Perlu kita sedari, Nabi Muhammad SAW yang bersifat maksum selalu memohon keampunan daripada Allah SWT.
Bagaimana dengan kita? Rasulullah SAW bersabda:
“Aku adalah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu semua, yang paling akrab dengan Allah, namun demikian sesungguhnya aku meminta ampun (istighfar) lebih daripada 70 kali dalam sehari semalam kepada Allah.” (Riwayat Ibnu Majah)
Apabila Rasulullah SAW yang terpelihara daripada dosa sentiasa memohon keampunan, maka berapa banyak permohonan keampunan perlu kita mohonkan selama 24 jam sebagai manusia yang banyak berbuat dosa?
Sesungguhnya Allah amat bergembira jika hamba bertaubat dan kembali kepada-Nya. Untuk membuktikan dengan jelas bahawa dosa yang dilakukan seseorang mungkin memberi kesan kepada seluruh umat, kita renung kembali kisah berlaku antara Nabi Musa dan kaum Bani Israil.
Ketika Nabi Musa berada di satu tempat yang sedang mengalami kemarau amat teruk, penduduk di situ meminta Nabi Musa untuk mendirikan solat Istisqa. Setelah solat, Nabi Musa mengangkat dua tangannya berdoa kepada Allah supaya menurunkan hujan untuk manfaat manusia, haiwan dan tumbuhan di kampung itu.
Sebab doa tak diperkenan
Namun Allah tidak memperkenankan doanya. “Ya Rabb, Engkau selalu memperkenankan doaku,” kata Nabi Musa. Allah menjawab: “Antara kamu sekalian ada seseorang sejak 40 tahun melakukan maksiat. Hujan tidak akan turun kecuali setelah ia menjauhkan diri daripada kamu sekalian.”
Nabi Musa kemudian menyampaikan perkara itu kepada kaumnya. Di kalangan kamu ada seseorang yang melakukan maksiat. Allah tidak akan menurunkan hujan sehingga orang itu keluar dari kawasan ini.
Lelaki itu mendengar apa yang Nabi Musa dan menyedari bahawa dialah yang dimaksudkan. Namun, dia masih berharap ada orang selain daripada dirinya. Bagaimanapun, tidak ada seorang pun yang mengaku.
“Ya Rabb, jika aku keluar, bererti aku telah memalukan diriku sendiri dan jika aku kekal di sini, bererti kaum aku akan mati kehausan. Ya Rabb, lindungilah aku, ampunilah aku. Mulai detik ini aku akan bertaubat kepadamu Ya Rabb,” katanya dalam hati.
Tidak lama kemudian hujan pun turun. “Ya Rabb, hujan telah turun, tetapi tidak ada seorang pun yang keluar.” Nabi Musa agak kebingungan. Allah memaklumkan kepada Nabi Musa bahawa orang itu telah bertaubat, “Hujan turun kerana taubat hamba-Ku yang selalu melakukan maksiat.”
Nabi Musa memohon ditunjukkan orang itu tetapi jawapan diterimanya: “Aku telah menutup aibnya ketika melakukan maksiat dan aku tidak akan memalukannya setelah bertaubat.”
Taubat dapat selamatkan kaum
Perbuatan dosa seseorang boleh membinasakan satu kaum dan taubat yang dilakukan oleh seseorang itu juga dapat menyelamatkan satu kaum dan begitulah Maha Pengasih dan Maha Pengampunnya Allah SWT.
Dalam kisah lain, diriwayatkan seorang Badwi datang berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya: “Aku telah melakukan dosa, apakah Allah akan menerima taubatku? Jawab Rasulullah: Tentu. Tanya lelaki itu lagi: Jika aku kembali melakukannya. Baginda menjawab: Akan ditulis dalam catatan kejahatan. Lelaki itu berkata lagi: Kemudian jika aku bertaubat. Rasulullah menjawab: Allah akan menghapuskannya. Lelaki itu bertanya lagi soalan yang sama dan baginda memberi jawapan yang sama hingga lelaki itu bertanya: Sampai bila akan dihapuskan dosa?. Rasulullah berkata: Allah tidak pernah bosan untuk mengampunkan dosa hamba-Nya.”
Marilah kita bertaubat kepada Allah. Janganlah kita terus melakukan maksiat. Taubat adalah anugerah Allah yang terbesar kepada kita dan semoga kita akan meraih syurga-Nya bersama orang yang terpilih.
No comments:
Post a Comment