4.5.13

Malu: Jauh Di Sudut Itu, Dia Tetap Tetap Berdiri Gagah


Penat. Bosan. Kecewa. Sedih. Marah. Semuanya negatif. Sukar sekali milik positif mengambil ruang ketika ini.

Ya, pabila di suatu saat tahap semua nilai negatif mengambil tempat, segala-galanya akan berubah. Dan, dari situ tangisan berlagu pilu pula muncul. Mungkin tidak henti.
Dalam hati, mula ingin mengundur diri. Penat. Noktah. Tiada apa yang mampu dilakukan saat ini. Benar, tidak inginkan penghargaan, namun hanya inginkan kefahaman dari setiap insan.

Namun, bagaimana mahu difahami sedangkan diri tidak memahami!! Sukar sekali!

Penat dan kecewa menjadi mainan perasaan hati kala ini. Langkahan kaki untuk terus tegar di jalan itu, rasa ingin berhenti. Tidak mampu untuk diteruskan lagi.

Tidak lagi terdaya untuk meneruskan langkahan kaki ini. Malu dengan diri. Tidak mampu untuk melaksanakan apa yang dijanji!

Namun, saat ini. Jauh di sudut itu, insan itu tetap berdiri gagah. Tetap setia di jalan ini. Tetap teguh dengan dugaan yang dihadapi. Diri, jadi makin hairan.

Bagaimana tegarnya dia berdiri di situ, meskipun pelbagai dugaan dan cabaran yang dihadapi. Bagaimana dia mampu untuk menghadapi segala-galanya tanpa sekelumit penyesalan yang muncul di bibirnya saat dia terjun dalam kerjanya itu.

Subhanallah, hanya itu yang mampu diungkapkan saat ini. Kagum sekali dengannya. Diri, jadi malu sendiri.

Malu! Malu! Malu! Benar, diri sendiri malu dengan keadaan diri. Hanya kerana ujian yang diberikan tidaklah sebesar mana, namun sudah tegar untuk tidak meneruskan langkahan kaki.

Oh, diri? Apakah kamu tidak sedar, ujian yang Allah bagi ini adalah salah satu nilai untuk tingkatkan kehebatan di dalam jiwamu. Nilai kehebatan itu, Allah cuba cungkil ia melalui ujian demi ujian yang diberikan.

Lepas satu tahap ujian, Allah beri lagi ujian lain. Ujian demi ujian. Hingga nilai kehebatan untuk menghadapinya jelas tampak di dalam dirimu, akhirnya kamu akan sedar bahawa ujian itu membawa kamu ke tahap yang tertinggi. Dan, saat itu kamu akan berterima kasih pada Allah atas ujian itu.

Diri, masih tidak sedar? Dia yang di sana, meski hadapi ujian tetap setia dengan senyuman manisnya. Dia yang di sana, masih kekal dengan ramahnya. Mengapa kamu tidak mampu melontarkan senyuman semanis itu saat menghadapi ujian?
Malu..

Dia yang di sana, lebar sekali bibirnya dan tidak henti-henti menyebarkan salam meski saat itu semua orang tahu ujian berat yang dihadapinya. Haii, malulah wahai diri. Tidak sebesar mana ujian kamu hadapi, sudah ingin mengundur diri. Sekali lagi, malulah wahai diri.

Diri, lupakan mahu disanjung. Lupakan mahu diagung. Lupakan mahu diingati. Lupakan mahu dipuji. Segalanya tidak kekal. Jika semua itu yang diinginkan, tampak tidak ikhlas dalam melaksanakan urusan tersebut. Hai diri, jangan pernah rasa hairan, andai kebaikan dinilai keburukan.

Andai kejahatan lebih diingati berbanding kebaikan yang dilakukan. Biarkan sahaja andai kebencian lebih dipilih oleh insan lain berbanding kasih sayang. Biarkan. Kerana kita ada DIA, Allahu Rabbi.

Tekadkan setiap urusan yang dilakukan demi mendapat redha-NYA. Pasti tiada pun ungkapan sedih, kecewa yang muncul. Bahkan, nilai syukur kembali mengambil ruang di hati. Subhanallah, itulah yang dilakukan oleh dia. Insan itu. Betapa diri kagum. Sekali hati terpaut, selamanya tertaut.

Moga akan dijadikan sandaran, moga dijadikan contoh buat diri. Buat diri yang dahulunya lalai, yang hanya inginkan pujian dan sanjungan, pejamkan mata. Bulatkan sandaran hati, bahawa segalanya yang dilakukan hanya untuk DIA.

Dan, sekali lagi setelah bertemu dengan dia, berjanji dengan diri bahawa perubahan akan dilakukan serta merta. Malu dengan diri tidak sehebat dia yang mampu menempuhi ranjau berduri di jalan ini. Diri, niat di hati. Suatu hari nanti, pasti akan menjadi sebaik dia, sehebat dia. Mampu berdiri di sampingnya. Melebar luaskan segala nilai positif yang ada padanya.

Wahai dia, terima kasih. Atas nilai positif yang ada di dalam diri kamu, membuatkan diri harus berusaha untuk berubah demi mendapat redha-Nya. Syukur. Dengan adanya kamu, diri ini lebih kuat dan masih mampu teruskan apa yang ingin dicapai.

*Dia yang dimaksudkan: Insan-insan positif yang sentiasa di sisi  Memberi kekuatan untuk terus berdiri dan meneruskan langkahan kaki.
Terima kasih kepada insan-insan ini. :)

No comments:

Post a Comment