16.12.12

Rasa Tersisih Kerana Mereka


Rasa tersisih oleh manusia? Jangan sedih. ALLAH kan ada.
Di dunia, manusia punya 1001 ragam yang berbeza.
Ada yang berkelakuan dengan baik, dan sebaliknya. Di dunia, terdapat kepelbagaian yang memang sukar difahami oleh manusia. Namun inilah penciptaan Sang Khaliq.
Bertemu dengan banyak jenis manusia membuahkan pengalaman yang sangat berharga. Dengan pengalaman itu seseorang akan lebih mengenali personaliti manusia yang lain.
Jangan merasa jemu dengan pertemuan demi pertemuan, perkenalan demi perkenalan. Kerana semua itu akan membuahkan sesuatu yang berguna.
Di dunia, rasa tersisih, menyisihkan dan yang sama waktu dengannya memang banyak berlaku. Jika mahu mengalah hanya kerana rasa yang seperti itu, maka..
Anda akan rugi!
Rasa Tersisih Oleh Manusia
Saya pernah mendengar rintihan seorang kawan mahu berubah kepada yang lebih baik. Dan permulaan kepada perubahannya itu, dia mula mendekati kawan-kawan yang dia percaya mereka itu baik, inshaALLAH. Tapi, sebaliknya. Dia agak terkilan dengan apa yang berlaku.
“Kenapa bila saya senyum dan bagi salam pada mereka, mereka jeling saya. Salam pun tak sambut.. Kamu tahu, bukan sekali dua saya cuba mendekati mereka. Riak muka mereka tu, menunjukkan yang mereka jijik sangat pada saya..” 
luahnya. Ada nada sedih disitu.
“Hina sangatkah saya yang nak berubah ni. Tak baik sangat macam diorang?” 
Dan airmatanya mula menitis.
Begitulah bila berubah. Perubahan itu menjanjikan kesakitan.
Dan tidak semua sebenarnya manusia yang secara zahirnya anda nampak baik, maka baiklah dirinya. Jangan tertipu pada pemakaian manusia lain. Tapi nilailah peribadinya berdasarkan bait kata yang meluncur keluar daripada lidahnya dan melalui tingkah lakunya dalam berurusan dengan semua manusia.
Pengalaman yang dialami oleh kawan saya itu tadi memang suatu pengalaman yang biasa bagi seseorang yang mahu berubah. Dan disaat itulah ALLAH ingin mengajar kepada anda sebenarnya.
Mengajar? Mengajar apa? Senyum.
ALLAH Ta’ala mahu mengajar anda mengenal sifat-sifat manusia.
Terbatal Niat Asal Mahu Berubah
Ada juga yang pada mulanya sudah tekad memasang niat mahu berubah. Tetapi apabila mendapat layanan seperti kawan saya tadi, atau tidak mendapat sokongan moral daripada keluarga dan rakan-rakan, maka niatnya yang baik tadi itu terbatal.
Subhanallah. MashaAllah~
Sekiranya ada niat dihati mahu berubah, maka teruskanlah. Memang, bukan mudah mahu meninggalkan karat jahiliyyah yang ada pada diri. Tetapi dalam pada anda mahukan sokongan daripada manusia sekeliling untuk berubah, anda terlupa kepada siapa sebenarnya anda patut sangat bergantung.
ALLAH Ta’ala kan ada. Kadangkala, niat yang betul itu akan tersasar dari lebuhraya persekutuan yang sebenarnya.
Anda dapat? Senyumlah.
Jangan sedih bertemu dengan manusia-manusia yang tidak boleh menjadi sahabat anda untuk berubah ke arah kebaikan. Sekiranya diorang menolak malah menjauhi anda, maka carilah sahabat yang lain. Di luar sana, inshaALLAH. Masih ramai manusia yang baik-baik.
Bersabarlah dalam mencari sahabat ke syurga. Ianya bukan suatu proses yang memakan masa yang pendek. Mencari sahabat untuk ke syurga ini memakan masa seumur hidup.
Kenapa seumur hidup? Sebab, selagi hayat dikandung badan, selagi itulah nasihat-menasihati saling meluncur keluar dari bibir antara satu dengan yang lain.
ALLAH Sentiasa Menilai
Dalam proses perubahan itu, adakalanya memang sangat menyakitkan. Terasa sendiri, tidak dapat berkongsi rasa dengan manusia lain adalah lumrah. Tetapi jangan tenggelam dalam keadaan yang sebegitu. Sebab, yang mahu berubah adalah anda, maka anda yang patut bergerak dahulu.
Kesakitan anda, kesepian yang dialami kerana mahu berhijrah ke jalan yang benar.. Semua itu ALLAH sentiasa pandang dan nilai. ALLAH tidak sia-siakan pengorbanan hambanya!
Rasa tersisih oleh manusia adalah sebahagian daripada kesakitan selama berada di dunia ini. Banggalah dengan diri sendiri.
Siapa Yang Mahu Berubah Sebenarnya
Tidak salah mencari sahabat yang solehah dalam proses perubahan itu. Malah ia sebenarnya menjadi suatu keperluan untuk menuju ke jalan yang diredha ALLAH Ta’ala. Tapi, jangan sampai kebergantungan anda hanyalah semata-mata kepada sahabat itu tadi.
Mereka dan diri anda adalah hamba ALLAH!
Maka, sebenarnya kalian sama-sama berusaha memperbaiki iman masing-masing.
Kalau ditakdirkan berjumpa dengan manusia lain yang akhlak mereka tidak seindah pemakaian yang ada pada diri mereka. Maka, janganlah rasa tersisih. Sebaliknya, bersangka baiklah kepada mereka, bahawasanya semasa itu mood mereka kurang baik ataupun mereka malu pada anda yang sudi menghulurkan lafaz salam terlebih dahulu berbanding mereka yang ‘baik’ itu.
Subhanallah~!
Jangan terbantut rasa mahu meneruskan niat dihati hanya kerana bertembung dengan beberapa orang manusia yang mengecewakan anda. Sebab, seperti yang saya katakan tadi.. InshaALLAH, anda akan berjumpa dengan lebih ramai orang lagi di luar sana.
Masih juga kecewa? Siapa sebenarnya yang mahu berubah?
Anda? Maka, sila buat seperti layaknya orang yang mahu berubah. Ketepikan rasa kecewa dan rasa tersisih dikalangan manusia-manusia yang pernah anda kenali.
Satu yang saya percaya dan yakin, jika perubahan anda itu kerana ALLAH, maka ALLAH akan mempermudahkan urusan perubahan anda selagimana anda bergantung harap; berusaha dan berdoa kepadanya. ALLAH Ta’ala akan mempertemukan anda dengan sesuatu yang manis akhirnya.
Anda mahu berubah kerananya? Itu pilihan anda.
Anda rasa tersisih oleh manusia? Itu juga pilihan anda.
Jika masih terus rasa tersisih, anda rugi sebenarnya. Sedangkan ALLAH Ta’ala dan para malaikatnya sentiasa ada untuk membantu anda di jalan ALLAH Ta’ala ini.
Kita semua masih dalam proses berubah. Maka, kita kawan, boleh?
Kita semuanya, tiada beza. Iman dan Taqwa akan diadili oleh Tuan Punya Dunia~
*senyum bahagia pada kamu*
Semoga ALLAH merahmati.
semoga bermanfaat.