Pengorbanan Itu Menuntut Kepahitan
Selain kisah Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah menyembelih anak lelakinya Ismail untuk menguji keimanannya, kisah Hajar yang ditinggalkan di padang pasir itu sangat membuat manusia berfikir dalam. Telah banyak kisah-kisah orang terdahulu yang tidak ditelan dek zaman dan masih menjadi perkara relevan sepanjang zaman untuk dihayati.
Cuba bayangkan seorang wanita yang ditinggalkan seperti kisah Hajar. Agaknya kalau kita berada di tempat beliau, maka sudah pasti bercucuran sahajalah airmata kita. Terasa dizalimi oleh suami sendiri dengan ditinggalkan bersama anak yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa selain menangis jika lapar.
Tapi apakah yang ditanyakan olehnya kepada suami?
“Adakah Allah yang memerintahkan kamu untuk pergi?”
“Maka Allah tidak akan mengabaikan kita.”
“Maka Allah tidak akan mengabaikan kita.”
Tabaarakallah.
Dari mana keyakinan setinggi itu diperolehi? Apa yang mendorongnya untuk tenang dan redha? ‘Hajar memanglah boleh. Hajar kan isteri Nabi. No wonder la..’ Eh, sesiapa yang berkata begini, ketahuilah sesungguhnya isteri Nabi Nuh tidak beriman dengan apa yang dikatakan oleh Nabi Nuh sendiri. Dan pada kisah Nabi Nuh a.s itu juga terdapat pengorbanan yang besar di dalamnya. Kesedihan Nabi Nuh a.s juga terasa.
Menghayati Pengorbanan Melembutkan Hati
Mahu melembutkan hati, salah satunya, hayatilah pengorbanan orang-orang terdahulu dan orang-orang di sekelilingmu. Nescaya hatimu akan terketuk dan kamu akan mensyukuri nikmat yang kamu ada sekarang. Setiap orang ada cerita dan pengorbanan yang telah dibuat masing-masing.
Betullah, menyelami kisah kehidupan seseorang dapat memberi kesedaran akan erti sebuah pengorbanan kepada diri sendiri. Kamu akan tahu bahawa pengorbanan itu bukanlah mudah. Pengorbanan itu bukanlah manis tetapi pahit. Namun, setiap pengorbanan yang dilakukan dengan tujuan kebaikan pasti akan terserlah dengan kebaikan jua akhirnya. Kepahitan dibalas dengan kebahagiaan.
Meneliti mahu pun membaca kisah pengorbanan orang-orang yang telah berkorban, akan membuat dirimu berfikir dalam mengenai kehidupan bertuhan. Dan kamu akan lebih menghargai hidup kamu seadanya. Seseorang itu, bukan mudah mahu sampai ke suatu tahap tanpa sebuah pengorbanan. Pasti banyak cerita di sebaliknya. Pasti!
Pada lipatan sejarah, ramai kisah orang-orang yang telah berkorban dengan jasad dan jiwa raga mereka. Ada yang sanggup terseksa demi mempertahankan sebuah syahadah. Ada yang sanggup terbunuh kerana mempertahankan keimanan. Ada juga yang rela kehilangan semua hartanya demi pengorbanan untuk agama.
Saya pasti, kita tidak lagi teruji dengan ujian yang sedemikian.
Justeru, kita mungkin lebih perlu fahami bahawa pengorbanan itu bukan sekadar pengorbanan. Tetapi apabila kamu rela berkorban, bermakna kamu menelan kepahitan dan kesakitan. Tangis duka dan lara mungkin menjadi teman setia.
Dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran dan rintangan dewasa ini, setiap insan harus menghadapi dan menerima segala sunnatullah yang terkadang tidak seperti yang diharapkan. Istilah pengorbanan juga telah menjadi asam garam dalam kehidupan seseorang insan.
Berkorban demi sahabat, demi insan tersayang, demi maruah dan sebagainya. Namun, sejauh mana erti pengorbanan yang digembar-gemburkan itu bertepatan dengan syariat Islam menjadi tanda tanya.
,
Islam adalah agama yang syumul, mudah dan tidak menyusahkan. Ia menuntut umatnya untuk melakukan pengorbanan demi memelihara kemuliaan Islam itu sendiri. Ayuh kita soroti erti pengorbanan sebenar yang dituntut oleh Islam.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri mengorbankan seluruh hidup Baginda dalam menyampaikan risalah Islam bermula sejak kebangkitan sebagai utusan Allah sehingga tersebarnya Islam ke seluruh dunia dan akhirnya sampai kepada kita hari ini.
As-Syahid Imam Hassan Al-Banna ada menyebut berkenaan tadhiyah (pengorbanan) iaitu berkorban yang membawa makna menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya demi mencapai matlamat. Beliau turut menyatakan bahawa tiada jihad di dunia ini yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan demi matlamat dakwah Islami ini tidak akan disia-siakan sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik.
Firman ALLAH Taala :
“ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka ”. (At-Taubah: 111)
Setiap orang yang meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai Nabi dan Rasul, maka dituntut darinya melakukan pengorbanan.
Firman ALLAH Taala :
“ Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah ), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak”. (Al-Baqarah: 245)
Memetik kisah Saidina Abu Bakar Radiallahu Anhu yang telah mengorbankan dan membelanjakan seluruh hartanya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya kepadanya :"Apakah yang kau tinggalkan kepada keluarga kamu? Lalu beliau menjawab: Aku telah tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-NYA". Alangkah mulianya hati para sahabat, sanggup mengorbankan kepentingan diri demi kecintaan kepada Allah, Rasul dan agama Islam itu sendiri.
Apabila jiwa telah dibeli oleh Allah, tiada siapa yang mampu menggugat hati seseorang agar tidak berkorban untuk Islam.
Firman ALLAH Taala :
“ Dan apa sahaja yang kamu sedekahkan, Allah akan menggantinya. Dialah sebaik-baik pemberi rezeki “. (Saba’ :39)
Setiap apa yang dikorbankan oleh seseorang muslim dalam jalan dakwah akan diberi balasan dan ganjaran sama ada kecil mahupun besar. Sesungguhnya nilai pengorbanan di sisi Allah adalah sangat mahal. Hanya mereka yang terpilih oleh Allah sahaja yang akan sanggup melakukan pengorbanan tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Al-Quran sudah membentangkan bukti, lipatan sirah pengorbanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat serta pejuang agama Allah juga telah kita imbau bersama, namun adakah apa yang telah kita korbankan hari ini, benar-benar menepati pengorbanan menurut syariat Islam? Adakah istilah pengorbanan hanya untuk individu tertentu sahaja atau pada masa tertentu sahaja? Tepuk dada, tanyalah iman.
Semoga ALLAH merahmati.