5.12.12

Derhaka Dalam Taat

ALLAH SWT berfirman dalam Surah Ali Imran: 
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk Syurga padahal Allah belum mengenali mereka yang berjihad antara kamu dan belum juga mengenali mereka yang sabar. (Ali Imran : 142) 
Marilah kita bertanya diri kita sendiri: “Sudahkah aku melakukan jihad yang besar itu?
Atau sudahkah aku perangi hawa nafsuku?” Untuk menjawabnya, selidiklah ke dalam hati kita apakah sentiasa ingat Allah atau selalu lalai? Apakah sudah mencintai Allah atau lebih mencintai dunia? Apakah sudah sabar atas ujian Allah atau masih memberontak terhadapnya? Apakah sudah bersih dari mazmumah-mazmumah lainnya atau masih lagi hasad dengki, benci membenci, minta dipuji, gila nama, tamak dan mementingkan diri sendiri?





Berjihad menurut Tafsir ialah:
1. Berperang dengan orang kafir dan munafik untuk menegakkan Islam dan melindungi orang-orang Islam.
2. Memerangi hawa nafsu dan syaitan.
3. Mendermakan harta benda untuk kebaikan Islam dan umat Islam.
4. Membenteras yang batil dan menegakkan yang hak.

Allah SWT menimbulkan persoalan (tanda tanya) pada kita umat Islam, sudahkah kita berjihad dan bersabar? Kalau belum kita lakukan itu maka jangan kita fikir bahawa kita akan dapat masuk syurga Allah di Akhirat kelak. Jika sudah, maka kita sebenarnya sedang fisabilillah. Berperang melawan kafir dan munafik adalah mudah.
Yang susah ialah berperang dengan hawa nafsu dan syaitan.
Kalau kita berjaya terhadap orang kafir tetapi tidak berjaya dengan nafsu, itu belum menjamin kita benar-benar bertaqwa.



Rasulullah SAW bersabda: 
Kita baru balik dari peperangan kecil untuk masuk ke satu peperangan yang lebih besar,
Sahabat bertanya: “Peperangan apa itu, ya Rasulullah?
Baginda menjawab, “Peperangan hati yakni melawan hawa nafsu. (Riwayat Al Bukhari & Muslim)

Ketahuilah sesungguhnya dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik daging maka baiklah seluruh jasad. Bila busuk daging itu, maka jahatlah seluruh jasad. ketahuilah, itulah hati. (Riwayat Al Bukhari & Muslim)

Kalau hati masih berisi daki-daki dunia yang kotor itu, janganlah mimpi amalan-amalan lahir seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, sedekah, berdakwah, menuntut ilmu, menutup aurat, baca Quran, zikrullah dan lain-lain itu dapat menebus kita dari kebencian Allah dan api neraka. Cuba kita lihat firman Allah:

Hari itu (hari ketika meninggal dunia) harta dan anak tidak berguna lagi kecuali orang yang mengadap AKU membawa hati yang selamat (hati yang bersih dari segala kejahatannya dari sifat mazmumah). (Asy Syuara: 88-89

Kalau sembahyang tidak khusyuk dan tiada rasa hamba, itu tanda masih menderhaka.
Bukan amalan zahir sahaja yang dapat membawa seseorang kepada keredhaan Allah dan syurganya, tetapi yang lebih penting ialah amalan hati. Sabda Rasulullah SAW: 

Allah tidak memandang rupa dan harta kamu, tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu. (Riwayat Muslim)
Kalau hati kita beramal soleh dan zahir kita juga turut beramal soleh (sebab amalan zahir mengikut amalan batin, umpama rakyat mengikut raja) itulah kesempurnaan amalan manusia yang dijamin dengan Syurga. Untuk meyakinkan, diperturunkan firman Allah yang menunjukkan amalan batin adalah wajib:

1. Perintah khusyuk dalam sembahyang, iaitu mengingati Allah:
Apakah belum masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk mengingati Allah. (Al Hadid : 16)


2. Perintah supaya sentiasa merasa diawasi oleh Allah: Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca satu ayat dari Al-Quran dan tidak mengerjakan suatu pekerjaan melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melakukannya, Tidak luput dari pengetahuan Allah biarpun sebesar zarah (atom) di bumi biarpun di langit, Tidak ada yang kecil dan tidak (pula) yang lebih besar dari itu melainkan (semua tertulis) dalam kitab yang nyata (Luh Mahfuz) (Yunus: 61)

3. Perintah supaya takut kepada Allah:
Janganlah kamu menyembah dua Tuhan, Sesungguhnya Dialah Tuhan yang Maha Esa, maka hendaklah kepada-Ku sahaja kamu takut. (An Nahl : 51)


4. Perintah supaya tawakkal kepada Allah:
Hanya kepada Allah sahajalah orang-orang beriman harus bertawakkal. (At Taubah: 51)


5. Perintah supaya syukur pada Allah:
Bersyukurlah kamu kepada Allah sekiranya kamu benar-benar menyembahnya. (Al Baqarah: 172)


Kalau betul kita menghambakan diri pada Allah, kita mesti ada rasa syukur pada Allah, Umpama kita dapat hadiah dari raja, Kita mesti rasa terhutang budi dan berterima kasih padanya, dan bersyukur atas hadiah pemberiannya, Jangan pula asyik fikir hadiah itu sahaja hingga lupa pada yang memberi hadiah. 

Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu maka dari Allahlah datangnya dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya padanyalah kamu minta tolong. (An Nahl: 53)

6. Perintah supaya sabar:
Sabarlah kamu tetapi tidak mungkin kamu bersabar kecuali dengan pertolongan Allah. (An Nahl: 127)



Antara kedua-dua amalan zahir dan amalan batin, Allah lebih mengutamakan amalan batin, sebab itu kalau ia diamalkan hendaklah benar-benar kerana dan untuk Allah, bukan untuk manusia, Sebab manusia tidak nampak. Kalau hati sudah betul, akan betullah zahirnya, Kalau zahir sahaja betul, hati belum tentu betul.

Jangan pula ada orang yang mengatakan:
“Kalau begitu, kita jaga hati sudahlah, zahir tak payah!” Ini lagi tidak betul, Sebab hati yang betul ialah hati yang taat pada perintah-perintah Allah lahir dan batin, Kalau amalan zahir tidak dibuat maknanya hati belum betul, Banyak berlaku dalam masyarakat umat Islam hari ini mereka yang beramal dengan hukum Islam tentang syariat zahir sahaja seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, zikrullah, sedekah, tutup aurat dan bersillaturahim, Namun amalan hati (batin) tidak dipedulikan. Inilah yang dimaksudkan sebagai derhaka dalam taat.

wallahualam.