Sering kita terdengar orang yang selalu gagal dalam mencapai kejayaan hidup berkata,
” Ini sudah takdir saya, dan saya harus ikhlas menerimanya.”
Benarkah orang tersebut gagal kerana memang dia sudah di takdir kan hidup sebagai seorang loser?
Ketika ada yang tidak lulus peperiksaan, apakah memang takdirnya ? atau dia yang tidak mahu belajar dengan bersungguh-sungguh?
Ketika ada bisnesman yang jatuh bangkrap, apakah itu sudah takdirnya ? ataukan dia yang kurang kreatif dan inovatif sehingga perniagaannya kalah bersaing dengan bisnes pesaingnya?
Ketika ada selebriti yang sudah beberapa kali mengalami kegagalan dalam membina kehidupan rumah tangga, apakah itu kerana takdir yang harus dilaluinya ataukah kerana selebriti tersebut tidak memiliki tekad dan komitmen yang tinggi untuk mempertahankan keutuhan keluarganya?
Tulisan ini tidak bermaksud memanipulasi pengertian takdir sebagai suatu bentuk keimanan kepada Tuhan. Akan tetapi lebih kepada Takdir jangan selalu dijadikan alasan atas kesalahan kita dalam menghadapi pasang surutnya kehidupan. Hidup akan terus berjalan “Live is go on”. Masalah adalah bagaimana kita menghadapi setiap permasalahan hidup yang muncul dan tetap muncul sebagai pemenang.
Untuk menjadi pemenang kita wajib memiliki mental sebagai pemenang atau juara
Seorang pemenang akan selalu optimistik dan penuh harapan menatap masa depan meskipun harus mendaki bukit yang tinggi dan lembah yang curam. Seorang pemenang melihat setiap masalah sebagai suatu tentangan untuk dipecahkan dan bukan untuk dihindari.
Apa sebenarnya takdir itu ?
Takdir adalah ukuran. Takdir adalah hukum Tuhan yang diberlakukan untuk kehidupan manusia dan alam raya. Kata takdir (taqdir) berasal dari kata “qaddara” berasal dari akar kata “qadara” yang bererti mengukur, memberi kadar atau ukuran.
Jika kita berkata, ʺAllah telah menakdirkan demikian,ʺ maka itu bererti, ʺAllah telah memberi kadar, ukuran, atau batas tertentu dalam diri, sifat, atau kemampuan makhluk‐Nya”.
Kalau kita melihat dalam kehidupan seharian, yang menjadi masalah bukan bagaimana takdir itu difahami atau diertikan. Ini sepertinya sudah “muttafaqun alaih” atau sudah kita sepakati bersama.
Oleh itu, apa yang menjadi masalah?
Yang menjadi masalah adalah bagaimana orang memahami posisi dirinya dalam takdir Tuhan. Bagaimana orang meletakkan dirinya dalam lingkaran takdir tuhan itulah yang membezakan dia dengan orang lain. Ini terjadi ketika kita membawa konsep takdir ini untuk menjelaskan nasib kita. Nasib di sini berkait dengan warna‐warninya keadaan diri kita, misalnya: berjaya‐gagal, sengsara‐bahagia, maju‐mundur, menang‐kalah, dan seterusnya.
Harapan akan membangunkan mimpi seseorang, dengan harapan seseorang dapat melihat dunia dengan segala keindahannya, mensyukuri keberadaan dirinya dan merasa mampu untuk tetap bertahan.
Seorang penyair menyatakan bahawa harapan itu seperti sayap burung yang mampu membawa terbang dirinya ke alam bebas untuk merasakan hidup yang sebenarnya
Berbeza dengan orang-orang yang tidak mempunyai harapan, mereka akan cenderung berputus asa. Melihat dunia dari kegelapan, merasakan bahawa keberadaanya tak ada gunanya lagi sehingga banyak juga orang yang berputus asa akhirnya menyakiti diri mereka sendiri bahkan ada yang sanggup untuk mengakhiri hidupnya sendiri, dan pada akhirnya Takdir yang dijadikan kambing hitam atas kemalangan hidupnya.
Dengan menyedari bahawa Takdir adalah suatu ketentuan dari Allah SWT, namun tetap merupakan akibat atas segala tindakan yang telah kita ambil, maka kita akan meletakkan usaha atau ikhtiar sebagai jalan keluar atas segala permasalahan kita, dengan tentunya tetap bersandar pada kekuatan yang jauh lebih besar dari kita, iaitu kekuatan Sang Maha Pencipta.
Untuk itu doa tetap kita mohonkan agar usaha dan langkah yang kita ambil tidak hanya baik dan sesuai dengan keinginan kita, tetapi juga sesuai dengan kehendak-NYA sebagai pemilik dan penguasa alam semesta ini.
Sumber : kembang-aggerik.blogspot