Perbahasan mengenai persoalan takdir ini perlu diberi perincian yang khusus dan teliti serta berhati-hati supaya kita tidak terjerumus ke dalam pemikiran aliran Jabariah, Qadariah mahupun Mu'tazilah tanpa kita sedar !
Jabariah menekankan konsep bahawa segala perkara yang terjadi di dunia ini merupakan suratan dan telah ditakdirkan ALLAH secara total, manakala Qadariah telah meletakkan hak dan kebebasan mutlak diberikan kepada manusia dalam ruang lingkup kehidupan manusia dan terlepas dari kehendak ALLAH.
Secara umumnya, takdir bererti ketentuan dan ketetapan daripada ALLAH. Takdir berhubung kait dengan konsep Qada' dan Qadar yakni sesuatu perkara yang dikendaki oleh Allah akan pasti terlaksana.
Sekiranya seseorang berkehendakkan sesuatu dalam kehidupan dengan jalan usaha untuk mendapatkannya, tetapi akhirnya gagal memperolehnya maka inilah yang dikatakan sebagai takdir, suatu ketentuan yang mempunyai hikmah yang tersembunyi.
Dalam kehidupan ini, ramai insan yang tersalah sangka dan tersilap faham tentang maksud sebenar Qada' dan Qadar. Dalam banyak keadaan, mereka sering menyalahkan Tuhan atas apa saja yang menimpa dalam kehidupan mereka dengan keluhan, "sudah takdir Ilahi".
Perbuatan ini seolah-olah menganggap bahawa mereka tidak pernah bersalah dalam kehidupan dengan melepaskan kekhilafan diri sendiri untuk disandarkan kepada Tuhan atas nama takdir.
Za'ba berkata;
"Diyakini (kononnya) sesuatu perkara yang kita lakukan, baik benar atau salah dan sesuatu perkara yang berlaku di atas seseorang.. semuanya itu telah ditetapkan dari sedia kala (oleh ALLAH) dengan tiada boleh diubah dan ditukar lagi.. Walau bagaimanapun dijalankan usaha dan ikhtiar hendak melawan atau menyahkan ketetapan (takdir menurut keyakinan tadi) itu, sama sekali tidak dapat.. Ini bermakna nasib seseorang itu telah termeterai mati di atas dahinya dengan betul dan tepat, seperti yang akan terjadi" -Falsafah Takdir (1932)
Za'ba telah mengkritik fahaman sedemikian kerana ia membunuh sifat-sifat untuk berusaha dan bersabar serta menghilangkan kebebasan berikhtiar pada manusia dengan batas-batas kemampuannya sebelum menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan. Begitu juga 'tweet' Prof Madya Dato' Dr Asri Zainul Abidin di dalam Twitter beliau:
"Jika semua takdir ALLAH, maka apakah tiada siapa yang salah?! Manusia buat salah, Tuhan yang bertanggungjawab?!" -Tweet bertarikh 9 Jan 2014, 11.02pm
Realiti Kehidupan
Setelah mencapai usia matang, setiap insan dalam kehidupan ini mesti berdepan dengan pelbagai ujian dan dugaan yang melanda sebagai asam garam menempuh alam dunia. Usia matang tidak boleh diberi tempoh yang spesifik kerana ada yang lebih awal sampai ke peringkat itu dan ada yang sebaliknya.
Usia matang yang insan sedang lalui ini pernah dilalui oleh insan-insan terdahulu dan bakal dilalui oleh yang terkemudian daripada kita. Peringkat ini merupakan fasa di mana insan benar-benar merasai bahawa inilah sebuah perjalanan dalam kehidupan.
Ujian kehidupan tidak mengenal rupa, pangkat dan keturunan. Ia boleh hadir pada bila-bila waktu dan dari jalan yang tidak disangka-sangka, baik dengan jalan nikmat (istidraj), mahupun dengan ditimpa musibah.
Ini bergantung kepada kekuatan spiritual insan untuk menghadapi jenis-jenis ujian tersebut. Maka secara komparatifnya, seorang pemimpin negara akan menghadapi ujian yang berbeza dengan seorang nelayan. Namun pada penilaian Tuhan, ujian itu menurut kemampuan insan.
Saban hari kita melihat, mendengar (dan merasai) sendiri keluh kesah insan-insan malang di sudut dunia yang menghadapi pelbagai ujian dalam hidup mereka. Seorang isteri mengadu sering dipukul suami siang malam, seorang suami pula mengeluh akan isterinya yang tidak mendengar kata, ataupun sepasang suami isteri yang sudah lama berkahwin namun masih belum dikurniakan cahaya mata.
Kesemuanya, baik si isteri yang malang, suami yang penyabar mahupun pasangan yang kesunyian dalam rumahtangga memilih jalan sabar setelah berhabis daya untuk berusaha bagi menyelamatkan rumahtangga mereka daripada porak-peranda.
Betapa cekalnya mereka dalam menghadapi ujian ini hanya mereka dan ALLAH SWT yang Maha Mengetahui.
Namun persoalannya, apakah mereka mengikut garis panduan yang disyorkan oleh Baginda Rasulullah SAW sebelum memilih pasangan hidup? Dan jika mereka benar beriman, tidak semestinya tiada ujian datang menimpa. Maka alangkah baiknya jika kita menyoroti firman ALLAH SWT yang bermaksud:
"Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki dan perempuan, sedang dia beriman, sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan" (Surah an-Nahl, ayat 97)
Terkadang ujian yang menimpa kehidupan ini ialah sebagai sebab untuk kita lebih dekat mengenal Tuhan, lebih menghayati erti keberadaan Tuhan pada setiap masa dalam kehidupan ini.
Sesetengah insan merasakan bahawa ujian yang mereka hadapi terlalu berat untuk dipikul sendirian, namun setelah mendengar kisah-kisah ujian yang dihadapi oleh insan-insan terdahulu, melihat keadaan insan-insan lain yang lebih berduka dalam hidup mereka, maka tekanan perasaan yang dihadapi insan itu sedikit reda. Sudah tentu ujian itu tidak hilang akan tetapi dengan izin-Nya, nikmat syukur itu telah masuk, menerobos ke dalam jantung hati mereka menjadikan jiwa mereka terasa aman, tenang dan tenteram.
Begitu juga dengan keluhan anak muda yang ingin memiliki seorang gadis, saban hari dia berusaha dan berdoa supaya diperkenankan permohonannya. Tanpa dia sedar, terdapat ramai lagi insan-insan lain di luar sana yang turut memanjatkan doa dan harapan untuk memiliki gadis yang sama.
Maha Suci ALLAH, Dia-lah yang mengatur dan mencaturkan peraturan alam, Dia memberi kepada sesetengah yang dikehendaki-Nya, dan Dia menangguhkan pemberian-Nya kepada setengah yang lain. ALLAH SWT mengetahui apa yang terbaik buat diri insan. Itulah hikmah berusaha dan bersabar dalam menghadapi takdir-Nya.
Prof Dr Hamka pernah mengungkap:
"Yang ada ini sudah harapan kita. Jangan dipandang yang tiada, sebaliknya bersyukurlah dengan apa yang kita miliki kerana mengeluh itu tanda tidak reda dengan ketentuan Tuhan" - petikan dari rakaman audio kuliah Subuh di Masjid al-Azhar, Kebayoran, Jakarta Selatan dengan tajuk : Bersyukurlah.
Bersyukurlah
Lihatlah bagaimana nilaian dan pemberian nikmat Tuhan kepada sesetengah insan yang tidak pernah terlintas atau terfikir akan hadirnya nikmat itu dari jalan yang tidak disangka-sangka.
Terkadang insan yang hidup bergelandangan, menjadikan surau dan masjid sebagai tempat berteduh hujan dan panas, lebih merasai nikmat lena dan ketenangan dalam hidup berbanding insan-insan yang tidur berlantaikan tilam yang empuk, berudarakan pendingin hawa dan ditemani isteri yang cantik akan tetapi tidak senang hatinya, tidak lena tidurnya memikirkan soal hutang piutang dan orang-orang yang ingin menjatuhkannya.
Dan jika kita perhatiankan, terkadang lauk yang dimakan oleh pak cik mak cik di kampung itu nampak lebih berselera daripada Datuk Datin yang sentiasa mengeluh akan ketiadaan selera oleh kerana sentiasa berulang alik dari hospital disebabkan diabetes dan hipertensi yang dihadapinya.
Kehidupan kita terikat dengan pelbagai pihak dan keadaan di dalam satu putaran alam maka lihatlah bagaimana ALLAH SWT membahagi - bahagikan nikmat-nikmat-Nya kepada hamba-Nya.
Justeru itu, seorang teruna yang belum berkahwin akan menghargai dan mensyukuri nikmat kehidupan yang ada setelah dia melihat rumah tangga insan lain yang dibina secara terburu-buru tanpa persediaan diri dan tidak didasarkan kepada iman dan taqwa akhirnya gugur di pertengahan jalan.
Begitu juga kepada pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata, mereka akan lebih merasai erti syukur dengan keadaan sekarang setelah melihat pasangan lain yang menghadapi pelbagai ujian hidup untuk membesarkan anak-anak.
Ini bukanlah bermakna kita perlu terus-menerus berada dalam keadaan demikian, teruskan berusaha kerana sesungguhnya Dia Maha Melihat akan keazaman dan semangat hamba-hamba-Nya.
ALLAH SWT berfirman, ertinya:
"Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH, tidaklah kamu dapat menghitungkannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat ALLAH)." (Surah Ibrahim, ayat 34)
Dan ingatlah bahawa dunia yang kita huni hari ini bukanlah tempat perhitungan yang sebenar. Selagi mana ia bernama dunia, maka selagi itulah akan terdapatlah segala macam kekurangan dan kelompongan yang kita akan hadapi bagi meneruskan kelangsungan penghidupan di hari-hari muka.
Bila sudah tiba masanya kita ditakdirkan berada 'di sana', maka kita akan merasakan ujian-ujian yang kita hadapi sewaktu hidup di dunia dahulu tidaklah setimpal dengan segala nikmat pemberian Tuhan yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pula pernah terlintas dihati.
Beristighfarlah, semoga hati akan tenang.
-Muhammad Ismail Ibrahim, Universiti Malaya.
No comments:
Post a Comment