Ujian - Boleh jadi, mudah untuk kita berbicara tentang sesuatu perkara. Tetapi, apabila masa itu tertuju pada diri… ketika itulah kita akui bahawa langit itu rendah atau tinggi. Dan, ketika itu juga hidup yang dahulunya indah dan mudah, kini menjadi porak peranda. Kita hilang punca. Kita hampir hilang daya. Kita tersepit.
Menangis - Walau tidak berguguran airmata, tetapi hati kita meronta-ronta. Batin terseksa. Kita kalah dengan diri sendiri. Di hadapan manusia, kita cuba memberikan yang terbaik. Kita mengatakan hidup kita ini baik. Sentiasa baik. Hakikatnya, diri sendiri sedang diuji. Dan manusia lain, tidak mampu mengerti. Tidak sekali-kali.
Sendiri - Bawa diri jauh-jauh. Kita bersembunyi. Sehinggakan, orang lain kita terpaksa menolak tepi. Menyendiri. Jujur pada diri sendiri, kita masih lagi tewas dengan diri ini. Kita masih belum mengerti. Perkara masih belum selesai lagi. Diri, masih lagi tetap begini. Begini.. begini.. dan terus begini.
Adakah hidup akan berakhir ketika ini?
Tuhan, jadikan kehidupan itu dengan mempunyai tujuan. Dalam tujuan itu, dijadikan pula ujian. Tanpa ujian, kita tidak akan kenal erti kehidupan. Tanpa ujian dan kehidupan, kita pasti tidak kenal siapa itu Tuhan. Jauh perjalanan, tiba-tiba kita tersesat jalan. Maka, kembalilah ke pangkal jalan. Kembali ke pangkal jalan itu, bukan bermaksud kita berundur. Tetapi, baliklah kepada Tuhan. Kita perlukan Tuhan untuk meneruskan perjalanan. Kita perlukan Tuhan untuk memperbaiki kehidupan. Kita perlukan Tuhan, kerana kita ini hanyalah insan.
Tiba-tiba, rezeki hadir untuk kita. Walau tidak kita sangka, kita gembira menerima seadanya. Bagai diberi bunga mawar yang indah lagi wangi harumannya. Syukur dan puji-pujian pada Tuhan yang MAHA ESA. Begitu juga dengan ujian. Ia pasti akan hadir untuk kita. Kekadang, ujian menerpa tanpa kita sangka. Dahulu yang gembira, kita berubah sekelip mata. Dahulu pernah kita leka, kini bagai terasa dipukul sehingga kita terjaga. Aduh! Ketika ujian hadir untuk kita, ketika itu sukar untuk kita melafazkan syukur dan memberikan puji-pujian pada Tuhan yang MAHA PENCINTA.
Mengapa?
Bukankah Tuhan itu, MAHA BAIK?
Bukankah Tuhan itu, MAHA PENGASIH dan MAHA PENYAYANG?
Bukankah Tuhan itu, MAHA PEMBERI PERTOLONGAN?
Bukankah Tuhan itu, MAHA ADIL?
Bukankah Tuhan itu, TUHAN?
Serabut. Terlalu banyak persoalan. Sedang ujian sapa, kita terlalu sibuk memikirkan seribu satu tugasan Tuhan.
Istighfar..
Kembalilah ke pangkal jalan. Eratkanlah diri dengan Tuhan. Peliharalah hubungan sesama insan dan Tuhan. Insya Allah, Tuhan akan membuka sejuta jalan. Jalan itu, pasti kita tidak akan keseorangan. Kerana… kita mempunyai Tuhan.
perkongsian dari - www.mnasiruddinbamir.blogspot.com