Dari Zaid bin Khalid, katanya:
Kami bersembahyang subuh dengan Rasulullah s.a.w di Hudaibaiah, sedangkan pada malamnya hujan turun. Setelah selesai, beliau menghadapkan mukanya kepada orang banyak seraya berkata: Tahukah anda apa yang telah dikatakan Allah? Jawab mereka itu: Allah dan RasulNya yang mengetahui. Kata Rasulullah s.a.w. Allah telah berkata: Pada pagi ini ada di antara hamba-hamba-Ku yang percaya kepada-Ku dan ada pula yang ingkar,adapun yang menyatakan: Kita telah didatangkan hujan dari kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka orang itulah yang beriman kepada Ku dan ingkar kepada bintang-bintang adapun yang berkata, kita telah dituruni hujan sebab bintang Anu dan bintang Anu, maka orang itulah yang ingkar kepada-Ku dan percaya kepada bintang-bintang.
Riwayat: (Muslim)
Huraian Hadith:
Bintang adalah salah satu daripada ciptaan Allah S.W.T yang berfungsi sebagai penunjuk arah bagi pelaut dan nelayan selain sebagai penghias cakerawala. Justeru adalah satu pemikiran yang sesat apabila ada orang yang beranggapan bahawa bintang-bintang tersebut mempunyai kuasa yang mampu mempengaruhi nasib dan perjalanan hidup manusia sebagaimana yang menjadi bahan kepercayaan muda mudi sekarang terhadap bintang Capricon, Aquarius, Pisces, Aries, Taurus, Gemini, Cancer, Leo, Virgo,Libra, Scorpio dan Sagittarius. Sebagai umat Islam kita dilarang mempelajari hal yang bersifat tekaan untuk meramal nasib manusia bahkan ia merupakan suatu perbuatan syirik dan berunsur jahiliyah serta termasuk dalam kategori sihir dan mendustakan takdir sedangkan mereka yang mendustakan takdir jelas termasuk di dalam golongan musyrik.
Sabda Rasulullah :
“Orang yang datang kepada ahli nujum dan bertanya kepadanya sesuatu, tidak akan diterima solatnya selama 40 hari (Muslim)”
Mempercayai kata-kata Ahli Nujum/Horoskop menjadikan seseorang itu syirik dan kufur. Wal Iyazhubillah.
Wallahu a'lam.
Sumber : halaqah.net