30.12.12

Tinta Indah Penguat Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim..

Tercoret tinta ini memadahkan rahsia qalbu. Hati...tidak siapa tahu. Tidak siapa mengerti, disimpan juga tidak membawa makna. Kepada yang Haq ia berbicara. Melagukan bicara yang terkadang sumbang lakunya. Bicara pada manusia juga tidak mengurang resah.

HIDUP ini adalah suatu perjalanan. Penuh erti, penuh ranjau, penuh duri.. Namun bukan sakit tertusuk duri itu yang penting tetapi nikmatnya apabila duri itu tercabut dari daging. Bagaimana ia dikeluarkan juga betapa ianya penting. Sakit, meraung.. tetapi jangan berhenti mengeluarkannya. Kelak menjadi bisa yang tidak terawat. Dan setelah itu bersyukurlah dengan segala kehendakNya. Sakit tertusuk duri itu mungkin sahaja penyucian kifarah yang dilakukan. Mungkin juga mehnah dari Yang Esa untuk mendidik hati bertabah serta mensyukuri setiap kejadian tanpa keluhan.


UJIAN.. Jika ujian di bangku sekolah dapat jua dihafal formula - formula untuk melaluinya. Namun yang bernama ujian hidup adalah yang datang tanpa salam, tanpa diundang. Datangnya dengan kehendak Ilahi yang mahukan manusia memaknakan kehidupan dengan menggunakan akal berbataskan keimanan. Demikianlah didikan Allah. Memanusiakan seorang manusia!

CINTA.. Manusia dihidupkan atas cinta. Cinta itu meluas. Cinta kepada Allah, kepada Rasul, kepada ibu bapa, kepada suami, kepada isteri, kepada sahabat. Malangnya cinta yang pernah dijumpai telah disempitkan dan tersepit oleh kurangnya faqih akan hakikat cinta. Cinta itu setia, jujur, kasih sayang, rindu, doa kebahagiaan. Benihlah cinta yang meniti atas dasar iman. Akan redhalah Allah pada cinta itu. Namun sayang seribu kali sayang, cinta itu tercalar keluhurannya. Terselit pengkhianatan, ketidakjujuran... dan akhirnya perpisahan... Yang meninggalkan mencari pengganti. Segala janji terlupus begitu sahaja. Ingatlah bahawa roda kehidupan ini sentiasa berputar. Hari ini kita mengkhianati. Esok mungkin kita dikhianati. Hari ini kita mencipta luka di hati yang lain, mungkin esok hati kita pula yang terluka.

SABAR.. Bukan mudah untuk memahami erti sabar apatah lagi untuk melakukannya. Saat derita menjengah rasa, seakan kita sahajalah yang derita. Kita sahajalah yang terluka. Duka itu milik kita. Sedih itu juga milik kita, sehingga kita terlupa untuk mensyukuri nikmat Allah yg lainnya. Nikmat Allah yang begitu melimpah ruah jarang disyukuri tetapi bila didatangkan ujian, melaralah sekeping hati. Itu sahaja yang diingat-ingatkan. Demikianlah resam insani.

REDHA.. Tidak diuji hambaNya dengan ujian yang tidak mampu ditanggung. Rebah, jatuh dan terduduk, semuanya mengajar kita untuk bangkit kembali. Sedang walangnya hati tertanya bagaimana untuk bangun?? Ya... hanya kekuatan sahaja yang mampu menarik... Maka yang bangun itu bukanlah diri yang lemah. Yang bangun itu adalah jiwa yang kuat. Redha itu adalah menerima dengan lapang dada biarpun tangisan menitis tanpa hentinya namun bertahanlah. Tangisan itu tidak apa-apa malahan menunjukkan kita hanyalah hambaNya yang lemah. Serahkan segala urusan pada Dia.

SYUKUR.. Alhamdulillah segala pujian hanya selayaknya untuk Allah. Hari semalam yang berlalu, biarkanlah. hari ini yang dilalui, nikmatilah. Hari esok bakal tiba, bersedialah. Allah sentiasa memberi yang terbaik untuk hambaNya, maka kita sebagai hambaNya berkejaran lah mencari yang terbaik itu dengan segala usaha dan bermacam cara yang diredhaiNya."Fastabiqul khairat" pesanNya. Jika berlari itu kemudiannya jatuh maka bangkitlah kembali. Tidak mengapa jika tidak ada tangan yang menghulur bantuan kerana ada 'tangan' yang lebih membahagiakan. Letaklah kebergantungan kepada Allah SWT. Semoga hidup sentiasa diberkati dan dibimbing untuk mencari wangian Jannah.


"lihat pada apa yang ada, Barulah kita bersyukur. Jangan dikenang apa yang tiada Nanti kita kufur"

Semoga beroleh kebahagian dalam mencari warna cinta Ilahi.


Penulis Asal Atikel: 
Raden Putriseorang hamba yang sedang berusaha agar istiqamah di dalam sebuah pencarian (kebenaran).