27.12.12

Itu Jodoh Terbaik? Lupakan Saja

Jodoh merupakan topik kegemaran untuk setiap orang, baik yang masih single ataupun yang sudah berpasangan, mahupun yang sudah berkahwin. Dan topik ini juga digemari di semua peringkat umur dan kategori, dari budak berhingus, budak tadika, budak sekolah rendah, budak sekolah menengah, pelajar kolej, mahasiswa universiti, kakitangan pekerja awam dan swasta, pak haji, mak haji, dan lain-lain.

Kita selalu dengar bahawa: jodoh, rezeki, ajal dan maut di tangan Tuhan. Dan selalu jugak kita akan dengar orang akan menjawab ; memanglah di tangan Tuhan, tapi kita perlu usaha mencari jugak. Disebabkan konsep ‘perlu usaha mencari’ inilah, maka ramai yang berlumba-lumba mencari jodoh untuk diri sendiri. Apatah lagi zaman ni zaman facebook, zaman di mana orang berlumba-lumba mahu menulis di status tentang mesranya hubungan mereka dan pasangan mereka.

Bagi para muda mudi pulak, jika masih tiada pasangan atau couple, maka itu adalah sesuatu yang tidak cool. Zaman ini jika anda masih belum punya pasangan, maka anda dikira kolot, dan akan dilabel dengan pelbagai gelaran ; anak mak, ustaz, konon baik, bajet alim dan sebagainya. Oh, saya selalu dilabel sebegitu.
Saya selalu bertanya kepada rakan-rakan yang sudah bercouple, adakah pasangan mereka merupakan jodoh terbaik buat mereka?
Jawapan sebegini sudah saya hafal :

“memanglah yang terbaik. Dia memahami aku, dia sayang aku. Aku pun sayang

dia. Kitorang saling mencintai. Kitorang selalu pergi jalan-jalan, shoping. Kadang-

kadang kitorang pegi makan-makan, tengok wayang. Awek aku sporting kau tau.

Tak kolot. Aku kalau keluar pegi mana-mana, tak lepas dari pegang tangan dia.

Dia pun ok je. Eh, takkan kau tak tengok gambar dalam facebook kitorang?”


Itu jodoh terbaik? Lupakan saja. Fahamkah mereka semua apa yang dikatakan terbaik? Terbaik itu bermaksud baik untuk dunia dan akhirat. Yang boleh saling membimbing untuk kebaikan dunia dan akhirat. Yang mengingatkan tentang Allah dan saling berpesan dengan kebenaran untuk menegakkan agama Allah. Jadi kalau berpegang tangan, keluar tengok wayang, merewang-rewang sampai jauh-jauh malam, apa yang baiknya? Di mana kebaikannya?
Bukan, saya tidak mengharapkan wanita sufi seperti rabiatul adawiyah untuk dikurniakan menjadi isteri. Kerana saya pun bukanlah lelaki baik dan sempurna. Tapi dalam mencari jodoh yang terbaik, saya selalu ingatkan diri saya sendiri supaya menjadi seseorang yang baik. Baik di sini bukanlah baik di mata manusia semata-mata, tetapi baik di sisi Tuhan. Apabila kita baik dengan Tuhan, maka barulah secara sendirinya kita akan jadi baik di mata orang lain.
Dengan menjadi baik kepada Tuhan ; beribadah dengan khusyuk, membuat kebajikan, menjauhi larangan, dan berbuat baik kepada sesama manusia dan makhluk di muka bumi ini dan sebagainya, maka insyaAllah Tuhan akan membalasnya dengan kebaikan juga. Bukankah cinta itu datang bersama ketaqwaan pada Ilahi?
Ya, saya tahu, ramai akan mempersoalkan sebab saya berkata sebegini. Ramai juga yang bertanya dari mana saya dapat ‘formula’ jodoh yang begini? Dari novel? Buku motivasi? Filem?
Jangan sampai tersalah memilih orang
Jawapannya mudah. Sangat mudah. Bukankah kita sudah ditinggalkan dengan dua harta paling berharga oleh Rasulullah S.A.W, iaitu al-Quran dan Hadis? Inilah ayat yang menjadi pegangan saya

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang

jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan

(sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan

lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang

baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang

(yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan

pengurniaan yang mulia. - 
 (Surah An-Nur ayat 26)
Jika sudah begitu yang dijanjikan Tuhan, maka saya tak pernah ragu akan janji itu. Selagi saya berusaha untuk menjadi yang terbaik taqwanya di sisi Tuhan, maka saya percaya Tuhan akan mengurniakan saya jodoh yang baik juga. InsyaAllah.
.
Tulisan ini adalah milik tuan punya tumblr Sederhana Indah, Saudara Shukri Mohd Ali. Semoga membuatkan kita terfikir apa yang dikongsikan beliau.
Thanks bro =)