Kasih sayang dan cinta seorang ibu kepada anaknya tidak akan terbalas serta tidak ternilai dengan apa pun. Perjuangan seorang ibu untuk anak sangat luar biasa. Ketulusan dan kesabarannya menjaga anak sejak dalam kandungan hingga dewasa tidak terbalas.
Ibu rela mempertaruhkan nyawa untuk kehidupan anaknya. Ketika melahirkan, ibu meletakkan nyawanya, bertarung maut demi kelahiran anaknya. Bahkan, untaian doanya tidak pernah terputus untuk seorang anak sejak dalam kandungan lagi.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Israa, ayat 24)
Mereka selalu berharap dan memohon kepada Allah SWT supaya anaknya menjadi anak yang soleh dan solehah. Siapa lagi yang memberi kasih sayang paling mendalam serta pengorbanan tinggi. Itulah kasih sayang yang Allah SWT pinjamkan ke dalam hati seorang ibu.
Tidak dinafikan kasih sayang ibu mengatasi segala-galanya, tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anaknya walaupun sesaat. Ada kala ibu tidak dapat menyuap makanan ke mulut dan melelapkan mata kerana teringatkan anak-anaknya.
Memberi kasih sayang kepada ibu bukan sekadar memberi hadiah. Gembirakan mereka dan carilah keredaan mereka serta perbanyak doa keampunan kepada mereka. Sentiasa memuliakan dan menghormati ibu bapa.
Perlu kita insafi, jika ibu bapa tidak reda dengan perbuatan anak mereka, ia akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Selama mana kita tidak diredai oleh ibu bapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan derhaka terhadap Allah SWT.
Justeru, manfaatkan peluang yang ada untuk berkhidmat kepada kedua ibu bapa, membalas pengorbanan mereka dengan mencurahkan kasih sayang serta membahagiakan hari-hari tua mereka.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Israa, ayat 24)
SUMBER: Agama
No comments:
Post a Comment