23.2.13

Tersenyum. Kalian Adalah Insan Yang Mampu Tersenyum

Kesulitan pasti ada mengekori kehidupan ini kerana hidup ini akan selalu teruji. Kita semua sama, berdepan dengan dugaan yang tersendiri, cuma yang membezakan kita ialah cara kita mendepani.

Ketika hati sudah tidak tertanggung derita dan bibir masih sempat mengukir tawa, alangkah indahnya. Dia sembunyikan segala rasa untuk dicurahkan kepada Allah satu-satunya. Kerana menampakkan kemuraman wajah di hadapan manusia tidak akan menyelesaikan apa-apa. Mungkin kita akan memperoleh simpati tetapi selebihnya hanya Allah tahu jalan penyelesaiannya.

Ketika di timpa bencana,senyumlah kerana ujian adalah tanda kasih sayang Allah. Tidak Allah biarkan manusia yang disayangNya terlena dalam kenikmatan yang melupakan dia untuk mengingatiNya. Lalu di kirim sedikit ujian supaya manusia itu tersedar dari lena dan kembali padaNya.

Memang benar, cuba bandingkan manusia yang dalam kegembiraan dan manusia yang dalam kesakitan/kesedihan, berapa lama waktu mereka sempat habiskan di atas tikar sejadah? Kebanyakan manusia terlalu mudah lupa, dan hanya tersentak apabila Allah mengetuk mereka dengan kegundahan dan masalah.

Tersenyumlah dengan setiap permasalah kerana masalah adalah jalan untuk kita kembali dalam istikharah dan memohon petunjukNya. Allah sesekali tidak zalim, sentiasa memberikan peringatan untuk hambaNya. Kehidupan adalah tidak bermakna sedikitpun tanpa mengingatiNya. Kita bernyawa, berdiri, bersuara dan segalanya adalah dengan izinNya. Bersyukurlah.

Tersenyum dan bersyukurlah, maka kau tidak akan pernah berasa untuk menuturkan “jikalaulah aku dulu…….”, sedar atau tidak bahawasanya kehidupan ini telah berjalan seiring kehendakNya. Jika kita berkeluh kesah menyaksikan ujian demi ujian yang sedang merapat, kita akan mudah tersungkur dan meratap.

Kerana kita tidak pernah redha dengan apa yang Allah tetapkan sebagai jalan kehidupan yang perlu kita redah. Maka bersabar dan berserahlah hidup matimu dan suka dukamu hanya pada Dia yang maha mengetahui.

Tersenyumlah kerana kita masih bernyawa dan di beri kesempatan untuk meneruskan perjuangan di jalanNya. Kita masih ada waktu untuk menyelesaikan segala hutang dan pinjaman yang telah kita lakukan. Kita masih ada masa untuk bertaubat di setiap kesilapan.

Kita masih mampu bersyukur dengan setiap pemberian. Bandingkan kita dengan mereka yang telah terbaring kaku jasadnya di tanah, mereka sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Apakah kita masih tidak mengambil iktibar? Kita masih boleh lagi menambah amalan dan ketaqwaan kepada Allah dan menyempurnakan bekalan kita di alam sana. Tatkala roh dipanggil dan diangkat pergi, menyesal ketika itu sudah tidak bererti!

Dan paling penting, anda terlalu bertuah maka tersenyumlah kerana kita terpilih sebagai seorang MUSLIM. Kita ada Allah yang sentiasa bersama di setiap langkah kita. Di setiap hari, kita kan berjumpaNya dalam solat. Allah izinkan kita meminta padaNya setiap apa yang kita perlu.

Allah damaikan hati kita yang keresahan apabila kita bersamaNya. Allah maha mengampunkan segala dosa yang telah kita perbuat apabila kita bertaubat. Allah menjanjikan kita nikmat-nikmat yang tidak terhitung apabila kita bertaqwa. Allah sediakan ganjaran bagi mereka yang sabar. Allah mengaturkan kehidupan kita dengan sempurna dan segala yang ditetapkan adalah untuk kebaikan hambaNya. Ya Allah, terlalu beruntungnya kami.

"Abu Darda’ Radhiyallahu ‘anhu berkata , "Sesungguhnya aku akantertawa untuk membahagiakan hatiku."
Tersenyumlah sentiasa, ia tidak menyakitkan malah ia pengubat hati yang sakit. Bukannya bererti senyum itu kerana dia tidak punya masalah dalam kehidupannya, tetapi menunjukkan hatinya reda dengan setiap takdirnya.
Wallahualam. ~Hanya Allah mengetahui segala sesuatu kejadian~

No comments:

Post a Comment