“Jangan dengki-mendengki, jangan tawar-menawar untuk mengelirukan orang lain, jangan benci-membenci, jangan pulau-memulau dan jangan kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah bersaudara dengan orang Islam yang lain. Tidak boleh menzalimi, merendah-rendah dan menghinanya. Takwa adalah di sini, nabi mengisyarat tiga kali. Cukup seseorang itu dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam. Setiap orang Islam ke atas orang Islam diharamkan darahnya, haratanya dan maruahnya (hak kemuliaannya).”
Huraian Hadith :
- Orang Islam tidak boleh bersifat dengki-mendengki, benci-membenci dan pulau memulau antara satu dengan lain.
- Orang islam tidak boleh membuat spekulasi harga yang bertujuan menipu orang ramai dalam urusan perniagaan.
- Orang Islam berkewajipan menjaga kepentingan orang Islam yang lain.
- Hasad dengki adalah haram kerana seolah-oleh menentang ketentuan Allah SWT.
- Memulaukan saudara seagama dengan tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari adalah haram kecuali kerana sebab-sebab yang diharuskan.
- Islam ialah agama yang sempurna merangkumi aqidah, syariah (muamalah dan ibadah) dan akhlak, tidak sempurna salah satunya tanpa yang lain, kesemuanya terkumpul dalam satu kalimat iaitu “takwa” yang tempatnya ialah jantung hati.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak berkumpul di dalam hati seorang manusia antara iman dan dengki”. (Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi)
Hasad dengki itu adalah seumpama api yang akan memakan segala kebaikan yang dilakukan oleh seseorang seperti api yang membakar kayu.
Adanya perasaan dengki menunjukkan iman seseorang itu belum sempurna malah dengki merupakan sifat yang diwarisi daripada syaitan. Kerana dengkilah maka syaitan menggoda Adam a.s hingga terkeluar daripada syurga dan kerana dengki juga maka terjadinya pembunuhan di antara Qabil dan Habil.
Seorang pujangga Arab pernah berkata: “Orang hasad tidak akan senang hidupnya dan orang bakhil tidak akan berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan orang yang selalu jemu dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang tidak berakhlak."
Dengki yang diharuskan dalam Islam hanyalah dengki yang menjadikan manusia berebut-rebut melakukan kebaikan seperti berlumba-lumba menuntut ilmu atau berlumba-lumba melakukan ibadat dan yang seumpamanya.