26.11.12

Sifat Amanah



Hadith :-

Huzaifah Ibnu Yaman r.a berkata :

“Rasulullah SAW menceritakan kepada kami dua buah hadis, aku telah melihat salah satunya dan aku menunggu yang satu lagi. Nabi menceritakan kepada kami bahawasanya amanah itu turun ke dalam pangkal (akar) jiwa (hati) manusia, kemudian mereka pun mengetahui sebahagian al-Quran, sesudah itu mereka mengetahui sebahagian sunah. Dan nabi menceritakan kepada kami tentang pencabutan amanah.

Sabdanya yang bermaksud : “Seorang lelaki tidur lalu dalam keadaan tidur, dicabut amanah dalam hatinya, maka tinggal bekas amanah seperti kesan sesuatu warna yang menyalahi warna asal, warna yang agak hitam. Kemudian ia tidur lagi lalu dicabut lagi amanah, maka tinggallah bekasannya yang merupakan kembung-kembung di tangan lantaran banyak bekerja dengan menggunakan kapak seperti bara api yang engkau guling-gulingkan di atas kaki mu lalu kembunglah kaki itu dan engkau pun melihatnya sudah bengkak dan penuh dengan air, padahal tidak ada apa-apa di dalamnya. 

Kerana manusia berjual beli tetapi hampir-hampir tidak ada seorang pun yang amanah lalu seseorang pun berkata” Sesungguhnya dalam golongan bani fulan ada seorang yang boleh dipercayai dan dikatakan kepada orang itu : “Alangkah tinggi akalnya, alangkah bijak bestarinya dan alangkah hebat ketabahannya. Padahal tidak ada di dalam hatinya sedikit pun keimanan walaupun seberat biji sawi.


Dan sesungguhnya telah datang kepada ku suatu masa (telah berlalu suatu masa). Aku yang pada masa itu tidak peduli siapakah di antara kamu aku berjual beli dengannya. Demi Allah sungguh jika ia Muslim, nescaya keislamannya akan menolaknya kepada ku dan jika ia Nasrani, nescaya pengurus urusannya akan kembalikan kepadanya. Sedangkan pada hari ini aku tidak lagi berjual beli melainkan dengan si anu dan si anu.”

(al-Bukhari ; Muslim)

Huraian :

Amanah hilang dari hati manusia sedikit demi sedikit. Pada awalnya ia hanya meninggalkan titik hitam dan semakin lama titik hitam tersebut menjadi semakin jelas hingga menggelapkan hati sekali gus menghilangkan sirnanya. Malah dikatakan amanah itu adalah nilai keimanan itu sendiri. Dahulu, jika dalam melakukan urusan jual beli seseorang yang Muslim bersifat amanah kerana agamanya yang menuntut ia bersifat demikian. Seorang Nasrani pula bersifat amanah kerana pengurusnya menyuruh ia bersifat demikian. Namun pada masa kini, amanah seakan hilang. 

Tidak ada sesiapapun yang layak diberi kepercayaan penuh sama ada Muslim mahupun kafir. Semua ini disebabkan keimanan manusia yang semakin rapuh dan luntur, mudah digoda dan tergoda oleh habuan dunia. Hilang amanah hingga sanggup menerima rasuah, menipu dan menyelewengkan harta. Justeru sebagai manusia yang beriman hendaklah kita sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dikekalkan dengan sifat amanah dan mempunyai keimanan yang teguh dan mantap.

Skop amanah dalam Islam sangat luas, namun tuntutannya adalah melaksanakan amanah itu dengan penuh tanggungjawab dan kejujuran. Ini merupakan arahan Allah SWT dalam firmannya:"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya"
Beberapa aspek amanah:
Secara umumnya amanah terbahagi kepada dua bahagian:

1. Amanah yang dari Tuhan kepada manusia.
Antara yang termasuk dalam bahagian ini ialah:
a. Amanah fitrah untuk terus tegak di atas tauhid kepada Allah. Ini merupakah perjanjian yang agung.
b. Amanah beriman kepada Rasulullah (s.a.w.) dan dengan agama yang dibawanya. Ia adalah amanah tanggungjawab syariah untuk menegakkakan kehidupan bagi umat Islam di atas syariat Allah dalam semua urusan kehidupan: aqidah, ibadat, perundangan, hukum hakam dan akhlak.
c. Amanah pancaindera: Seluruh anggota kita dan khususnya indera adalah kurniaan Allah, sekaligus ia merupakan amanah. Dengan itu ia sepatutnya disalurkan dalam perkara ma`ruf sahaja bukannya untuk melakukan penderhakaan kepada Allah.
d. Ilmu.
Satu lagi kurniaan Allah yang sekaligus adalah amanah yang mesti disebarkan kepada orang lain.

2. Amanah antara sesama manusia.
Selepas hubungan dengan Tuhan Pencipta, kita tidak terlepas dari saling berurusan dengan sesama ini yang tidak terkeluar dari lingkungan amanah. Antaranya:
a. Amanah yang berkaitan dengan hak.
b. Amanah yang berkiatan dengan harta termasuk simpanan.
c. Kehidupan individu dan keluarga.
d. Kedudukan dan tanggungjawab.

Gambarkan dalam fikiran tentang situasi yang nabel tulis di bawah ini, dan hayatilah kita bersama,

Bayangkan jika:

Kita mahu menghantar sesuatu barang yang amat berharga kepada rakan atau keluarga yang berada di kampung. Cara yang paling mudah dan kita percaya hanya dengan menggunakan khidmat posmen malangnya bila kita kirimkan barang yang nak di hantar, kiriman kita telah dirosakkan dan dicuri jadi tak sampai kat siapa yang sepatutnya terima

Bayangkan jika:

Kita mengumpul 20 sen sehari sejak waktu kecil sekolah rendah, tujuan sebenarnya tak tahu kenapa nak kumpul duit. Hari demi hari, tujuan jadi semakin nyata, apa yang ingin dibeli semakin nampak duit simpanan yang kita buat sejak kecil tu jadi duit yang bakal di guna untuk beli barang tu. 3 tahun lamanya dah simpan duit hasil daripada alam persekolahan, kita suruh kawan kita belikan komputer riba sebab semua orang waktu tu dah ada tinggal kita je tak ada. Malangnya duit yang kawan kita dapat daripada kita tu, dia pergi beli sebiji motorsikal tanpa pengetahun kita dan terus memutuskan hubungan kawan sampai bertahun lamanya tanpa berita

Bayangkan jika:

Kita nak pulang ke kampung menyambut aidilfitri yang bakal tiba Rumah dijaga oleh pengawal keselamatan yang telah bertahun lamanya berkhidmat dengan kita. Bayaran diberi agak mahal kerana penjagaan kawasan rumah selama 24 jam berkawal. Malangnya, selepas kita balik dari kampung, kita dapati rumah kita habis disapu licin sekali dengan karpet-karpet, malam tu tidur atas lantai saje la.

Dah puas baca? suka ? seronok? rasa geram tak? sakit hati? marah? Lain kali jangan buat macam ni ye, nanti mak marah. -.-

Ingatlah, amanah tu begitu penting. Benda ni bukan hanya tanggungjawab sesama manusia malah lebih penting akan di pantau dan 'diberi markah' oleh Allah.

Peganglah amanah kita sekuat mungkin dengan sejujurnya dan yang penting tanamkan sifat akhlak yang terpuji kerana dengan akhlak inilah amanah tercipta insyaAllah.