Freemasonry: Apa Yang Kita Tahu?
Apabila disebut Freemason ramai yang akan menjawab saya pernah dengar tapi tidak tahu secara pasti dan ramai juga yang akan bertanya kembali apa itu Freemason. Di barat, Freemason bukan suatu yang rahsia atau misteri, sebaliknya Freemason adalah suatu organisasi atau pertubuhan yang sah, anda boleh menjadi ahlinya dengan mendaftar secaraonline di laman web mereka yang terdapat di dunia maya. Namun begitu, pertubuhan ini mempunyai banyak rahsia yang disembunyikan kerana “kerahsiaan” merupakan salah satu “rukun” utama organisasi ini. Kewujudan Freemason telah mengundang pelbagai perbincangan oleh masyarakat dunia yang prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Pelbagai teori telah dikemukakan tentang definisi, asal usul, konspirasi, ahli-ahlinya dan ancaman Freemason terhadap dunia..
Beberapa Teori
Walaupun organisasi Freemason ini mendakwa bahawa mereka adalah pertubuhan persaudaraan dan Freemason merupakan satu sistem akhlak dan berasal daripada persatuan pertukangan, namun tetap wujud beberapa teori yang hangat tentang organisasi Freemason ini. Disebabkan Freemason mengamalkan doktrin “kerahsiaan”, maka teori-teori yang dibuat tentangnya adalah kabur dan tidak dapat disahkan secara pasti. Namun, beberapa petunjuk, tulisan dan kajian dapat dijadikan sandaran ketika mengemukakan teori-teori tersebut.
Teori pertama; Persatuan Tukang Batu
Freemason merupakan suatu organisasi yang berkembang daripada persatuan pemahat dan tukang batu (dalam bahasa Inggeris, pemahat atau tukang batu dipanggil mason atau stone mason) pada Zaman Pertengahan di Eropah(sekitar abad ke 5). Pada masa itu, mereka diambil untuk bekerja oleh raja dan pihak gereja. Terdapat dua jenis tukang batu. Satu ialah tukang batu yang memahat batu-batu biasa yang dinamakan rough mason. Freestone mason pula adalah tukang batu yang memahat batu-batu yang lebih terperinci dan dengan kesenian. Mereka ini adalah golongan bebas (free) dan bukan hamba kepada mana-mana tuan yang kaya. Nama “Freestone mason” kemudian disingkatkan menjadi Freemason. Oleh sebab keistimewaan dan kebolehan mereka, golongan ini menubuhkan kelab atau persatuan sendiri untuk membincangkan pertukangan, kesenian dan kadar upah mereka. Salam tangan rahsia, kata-kata rahsia dan tanda-tanda lain direka untuk membezakan mereka dengan tukang batu yang lain. [The Catholic Encyclopedia]
Ini merupakan simbol utama Freemasonry
Jika kita lihat pada simbol Freemason di atas, ada logiknya juga jika mereka mendakwa bahawa mereka berasal daripada pertubuhan tukang batu kerana dua alat dalam simbol di atas memang digunakan oleh para tukang untuk melakukan pengukuran dalam kerja-kerja pertukangan. Namun satu persoalan timbul, jika Freemason adalah pertubuhan untuk tukang batu, kenapa sejak abad ke 18 hingga hari ini keahlian Freemason dibuka kepada umum dan dunia sedia mengetahui bahawa majoriti Presiden Amerika Syarikat, bermula dari Presiden pertama iaitu George Washington dan seterusnya merupakan ahli Freemason. Jadi, di mana hubungkaitnya antara mereka dengan Freemason? Adakah mereka semua adalah tukang batu? Atau mereka adalah tukang batu rahsia?
Teori kedua; Knight’s Templar (Kesatria Templar)
Freemason juga dikaitkan dengan ahli Kesatria Templar (Knight’s Templar). Mengikut lagenda, pada abad ke 11, Kesatria Templar telah menjumpai harta karun di tinggalan bangunan Haikal Sulaiman (berpandukan sesetengah pendapat; terletaknya di sebuah bilik rahsia di bawah Masjid al-Aqsa). Ini menyebabkan kebanyakan mereka menjadi tersangat kaya sehinggalah harta itu dirampas oleh Raja Perancis Philip IV. Kesatria Templar dipenjarakan tetapi ada yang melarikan diri. Pergerakan ini menjadi sulit dan muncul kembali pada abad ke 17 di bawah nama Freemason. [Wikipedia]
Jika kita merujuk kepada laman rasmi dan penulisan-penulisan ahli Freemason, mereka mengakui bahawa mereka sendiri tidak dapat menentukan secara pasti dari mana asal usul organisasi mereka dan dalam masa yang sama mereka tidak pernah menyebut tentang Knight’s Templar.
Teori ketiga; Kabbalah
Berdasarkan teori kedua di atas, terdapat beberapa perbezaan dan tambahan dalam teori ketiga ini. Ya, memang benar Kesatria Templar menjumpai harta karun di bangunan Haikal Sulaiman, tetapi harta itu bukanlah emas dan perak sebaliknya adalah kitab-kitab sihir kaum Yahudi zaman Nabi Sulaiman yang telah dirampas oleh Baginda dan dikambus di bawah singgahsana Baginda. Isi kandungan kitab tersebut merupakan ajaran sihir kaum Mesir Kuno yang dikenali sebagai Kabbalah yang dipelajari dan diamalkan oleh kaum Yahudi pada zaman Baginda. Maka, setelah menjumpai kitab sihir ini, para Kesatria Templar mula mempelajari dan mengamalkan ilmu sihir. Setelah perkara ini sampai kepada pengetahuan pihak gereja, maka mereka ditangkap dan dihukum bunuh kerana mengamalkan bid’ah dalam agama Kristian. Namun, ada beberapa ahli Kesatria Templar yang berjaya melarikan diri dan mereka inilah yang meneruskan ajaran Kabbalah hingga hari ini menerusi gerakan Freemason. [Harun Yahya & The Arrival]
Jika kita fikirkan kembali, adakah Nabi Sulaiman akan menyimpan harta karun berupa emas dan perak di bawah singgahsana Baginda? Adakah Baginda begitu tamak? Jawapannya sudah tentu tidak. Jadi kenyataan bahawa harta karun yang dimaksudkan sememangnya-lah kitab sihir yang ingin dihapuskan oleh Nabi Sulaiman, mungkin ada benarnya. Ini kerana, pada zaman Nabi Sulaiman memang ada sebahagian daripada kaumnya yang belajar ilmu sihir dan menyembah syaitan. Sila rujuk ayat 102 surah al-Baqarah.
Dalam sebuah buku yang ditulis oleh seorang ahli Freemason iatu Carl H. Claudy, beliau menyatakan di bawah tajuk“Ritual” pada ayat yang pertama sebagai berikut; “salah satu tarikan terbesar Freemasonry, sama ada kepada pencerca Freemason dan kepada ahli Freemason sendiri ialah barang purbanya” [Introduction to Freemasonry: Entered Apprentice]
Selepas kenyataannya ini, Carl H. Claudy sedikitpun tidak menerangkan bagaimanakah ritual yang diamalkan oleh ahli Freemason dan perhatikan bahawa beliau juga ada menyebutkan tentang barang purba. Beliau juga tidak menjelaskan apakah barang purba yang dimaksudkan selain menyatakan bahawa ianya diwariskan dari satu generasi kepada satu generasi. Jadi persoalannya, apakah kaitannya ritual dan barang purba? Apakah barang purba tersebut? Apakah mereka benar-benar mengamalkan sihir dan menyembah syaitan serta mengamalkan ajaran Kabbalah? Dan apakah kaitan semua ini dengan persatuan tukang batu?
Mari Renungkan Bersama
Paderi Tinggi Agung (Grand High Priest) J.W. Taylor di negeri Georgia, Amerika Syarikat, seorang yang berkedudukan tinggi dalam organisasi Freemason berkata; “tidak selalu timbul dari penyebab yang segera jelas yang ditetapkan dunia, tetapi adalah suatu kemuncak cita-cita dari prinsip-prinsip yang telah bekerja selama bertahun-tahun dalam fikiran manusia, sampai akhirnya waktu yang tepat dan lingkungan yang sesuai menghidupkan kebenaran yang tersembunyi itu dalam kehidupan, dan, sebagai cahaya akal yang mengalir dari satu fikiran ke fikiran dan kesatuan tujuan dari hati ke hati, mengghairahkan semua dengan penyebab umum yang kuat dan menggerakkan bangsa-bangsa sebagai satu diri untuk pelaksanaan satu tujuan besar. Atas dasar prinsip inilah, Lembaga Freemasonry menyebarkan pengaruhnya dalam dunia manusia. Ia bekerja secara diam-diam dan rahsia tetapi menembusi melalui semua celah masyarakat dalam banyak perhubungan, dan mereka yang menerima kebaikkannya merasa terpesona dengan pencapaiannya yang luar biasa, tetapi mereka tidak tahu dari mana ia datang.” [The Catholic Encyclopedia]
Untuk membincangkan isu Freemason secara terperinci sememangnya memerlukan ruangan yang lebih besar. Ruangan yang terhad ini adalah tidak mencukupi. Penulis merasa tidak berpuas hati kerana tidak dapat mengemukakan bukti bagi mengesahkan mana-mana teori. Namun secara peribadi, penulis tetap bersikap skeptikal terhadap pergerakan Freemason ini. Sikap ini bukanlah tidak berasas sama sekali. Berdasarkan kajian peribadi penulis, terdapat terlalu banyak persoalan besar yang tidak dapat dirungkaikan berkaitan gerakan Freemason ini. Cuba kita fikirkan bersama beberapa perkara ini. Pertama, kebanyakan pemerintah kuasa besar dunia adalah ahli Freemason, terutamanya presiden-presiden Amerika Syarikat dan ahli keluarga diraja Great Britain. Kasihanilah diri anda jika anda tidak mengetahui fakta ini. Kedua, terdapat terlalu banyak lambang yang pelik, tidak saintifik dan kelihatan seperti lambang tamadun kuno penyembah berhala. Apakah relevan lambang-lambang ini kepada gerakan mereka yang mendakwa bahawa mereka adalah persatuan persaudaraan yang mengamalkan ajaran moral? Ketiga, jika tidak ada angin, masakan pokok boleh bergoyang? Mengapa dokrin kerahsiaan begitu penting kepada mereka? Apa perlunya mereka mengadakan ritual-ritual rahsia? Terlalu banyak persoalan mereka enggan jawab yang menatijahkan pelbagai teori dan cakap-cakap orang tentang mereka?
Baiklah, sebelum berpisah mari kita renung kembali kenyataan Grand High Priest J.W. Taylor di atas. Cuba pembaca renung penuh teliti kenyataan tersebut perkataan demi perkataan dan cari apakah maksud di sebaliknya. Ya, agak sukar untuk mengetahui maksudnya secara pasti kerana beliau menggunakan bahasa kiasan sahaja. Jadi mari kita cuba tafsirkan apa yang ingin beliau sampaikan kepada kita. Dalam kenyataan tersebut penulis telah memboldkan pada tiga tempat yang menjadi fokus utama.
Pertama; “suatu kemuncak cita-cita dari prinsip-prinsip yang telah bekerja selama bertahun-tahun dalam fikiran manusia” . Nampaknya Freemason mempunyai suatu cita-cita yang tinggi dan telah menjalankan misi untuk memenuhi cita-cita tersebut selama bertahun-tahun dengan cara “bekerja dalam fikiran manusia.”Mereka sudah lama bekerja untuk mencapai cita-cita tersebut. Berapa lama? Seratus tahun? Dua ratus tahun? Atau seribu tahun? Untuk pengetahuan anda, Grand High Priest J.W. Taylor telah meninggal dunia pada tahun 1895. Jadi anda hitunglah sendiri berapa lama tempoh yang paling minimum mereka telah bekerja untuk “cita-cita rahsia”tersebut sedangkan hingga ke hari ini Freemason masih bergerak aktif. Apa pula yang dimaksudkan dengan “bekerja dalam fikiran manusia”? Tidak lain dan tidak bukan, maksud yang paling hampir ialah sistem kehidupan. Ya, cuba kita perhatikan sistem kehidupan kita pada hari ini. Boleh dikatakan hampir keseluruhan sistem yang ada di sekeliling kita pada hari ini tidak berteraskan prinsip-prinsip agama. Penulis yakin pembaca semua dapat menyenaraikan sendiri apakah sistem-sitem tersebut. Apabila manusia mula menjauhi sistem kehidupan yang telah digariskan oleh agama, maka mudahlah mereka dikuasai dan dikalahkan oleh bangsa lain.
Kedua; “satu tujuan besar”. Maksudnya apa? Tujuan apakah yang terlalu besar? Apa lagi yang lebih besar kalau bukan dunia ini? Adakah mereka ingin menjajah dunia? Jika kita undur ke belakang sedikit untuk membaca ayat sebelumnya, kita akan mendapat petunjuk kepada jawapannya. Petunjuk tersebut ialah “menggerakkan bangsa-bangsa sebagai satu diri untuk pelaksanaan satu tujuan besar.” Nampaknya tujuan besar tersebut ialah mereka ingin menjadikan semua manusia atas muka bumi ini sebagai “satu diri”. Adakah mereka ingin mengajak semua manusia di atas muka bumi ini untuk bersatu padu sebagai suatu bangsa yang cintakan kedamaian? Jika benar, kenapa perlu berahsia? Apabila kita menelusuri sejarah dunia, kita akan mendapati bahawa tahun-tahun selepas kematian beliau telah berlaku dua peperangan dunia iaitu Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Ya, mereka pernah menjajah dunia dan terus akan menjajah dunia tetapi hari ini mereka melakukan penjajahan dalam bentuk baru. Penjajahan sistem kehidupan manusia, juga tidak mustahil penjajahan dalam bentuk lama akan berulang semula untuk menjadikan kita semua sebagai “satu diri”.
Ketiga; “Ia bekerja secara diam-diam dan rahsia tetapi menembusi melalui semua celah masyarakat dalam banyak perhubungan, dan mereka yang menerima kebaikkannya merasa terpesona dengan pencapaiannya yang luar biasa, tetapi mereka tidak tahu dari mana ia datang”. Sudah terang lagi bersuluh bahawa modus operandi gerakan Freemason ini ialah secara “diam-diam dan rahsia”. Kalau sudah begitu gayanya, bagaimana mungkin kita dapat mengetahui apabila jarum mereka telah disuntik dalam masyarakat? Hanya mereka yang dikurniakan “nur” dalam hatinya sahaja yang dapat menghidu rencana rahsia ini. Gerak kerja mereka telah menerobos ke seluruh celah masyarakat dalam banyak perhubungan, apa lagi kalau ianya bukan sistem hidup. Akhirnya manusia terpengaruh dan merasa terpesona dengan pencapaiannya yang luar biasa. Apakah alat yang dapat mempengaruhi minda manusia hingga menjadikan mereka terpesona? Tidak lain tidak bukan, jawapannya ialah media.
Mereka mencipta dan menguasai media. Kita percaya apa yang mereka mahu kita percaya. Segala maklumat palsu dan hiburan disampaikan kepada kita melalui semua jenis media, baik ianya berupa media elektronik mahupun media cetak. Mereka membentuk fikiran dan sistem nilai kita. Mereka kata manusia berasal dari beruk, ya kita percaya. Mereka kata bumi ini berputar, ya kita percaya. Mereka kata Islam itu pengganas, ya memang ramai yang percaya. Apa saja yang mereka kata kita terima dan percaya tanpa banyak bicara kerana kita telah terpesona dengan segala macam pencapaian hebat yang telah mereka raih. Ramai anak muda kita yang merasa terpesona dan kagum dengan artis-artis ciptaan mereka sehingga cara rambut mereka juga menjadi kegilaan. Mereka telah mencipta ahli sihir zaman moden yang begitu dahsyat. Ahli sihir ini dengan mudah saja mencuri masa kita berjam-jam lamanya dalam sehari, dia juga mampu membuat kita ketawa, gembira, sedih dan menangis. Kita ternanti-nanti apakah yang akan dia sajikan kepada kita pada esok hari. Kita hilang punca dalam membentuk sistem nilai. Ahli sihir itu ialah peti televisyen yang ada di setiap rumah kita. Ahli sihir inilah yang memudahkan mereka menguasai minda kita. “Penguasaan Minda”. Ya, inilah maksud beliau dengan kata-kata “bekerja dalam fikiran manusia”. Tetapi kita semua tidak tahu dari mana semua ini datang dan apa tujuan besar di sebaliknya.
Sehingga setakat ini, sudah begitu banyak analisis yang telah dilakukan untuk mengetahui apakah wajah sebenar Freemason ini. Tafsiran demi tafsiran telah dilakukan oleh ramai orang, tetapi kita masih tidak dapat menyatakan secara pasti apakah Freemasonry ini sebenarnya. Tidak kiralah apakah Freemason ini sebenarnya, jahatkah atau baikkah, sebagai orang Islam, kita hendaklah menjauhkan diri dan jangan sampai kita terjatuh ke dalam lembah tipu daya mereka. Mereka tidak menyeru kita kepada akidah yang suci bersih dan mereka juga hanya mengajak kita kepada wajah perpaduan yang begitu mencurigakan. Ya, sikap hati-hati dan waspada, inilah yang perlu ada dalam diri kita. Sedang mereka merangka pelbagai agenda untuk menguasai kita, kita sebagai umat Islam hendaklah bersatu padu serta berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah. Hanya inilah senjata ampuh orang mukmin yang dapat melindungi kita daripada segala kejahatan. Apa lagi yang menghalang kita sebagai satu umat untuk bersatu padu? Adakah kita sebenarnya memang telah termasuk ke dalam permainan jerangkap samar mereka? Marilah sama-sama kita renungkan semula.
Buah Tangan
Ya, penulis yakin anda pernah menonton filem ini. Ini adalah adegan pada minit 36.15 dalam filem Terminator 2 yang diterbitkan pada tahun 1991 iaitu 10 tahun sebelum peristiwa serangan ke atas Amerika Syarikat yang berlaku pada 11/9/2001 yang meruntuhkan World Trade Centre (WTC) yang lebih dikenali dengan peristiwa 9/11 (orang Amerika apabila menulis tarikh akan menyebutkan bulan dahulu kemudian baru disusuli dengan hari). Cuba anda perhatikan tulisan yang terdapat pada jambatan tersebut ialah “CAUTION 9-11”. Dalam filem ini, sebelum Terminator sampai pada jambatan ini, Terminator telah melalui beberapa jambatan dan kesemua jambatan kosong tanpa ada sebarang tulisan sehinggalah Terminator sampai kepada jambatan yang terakhir ini yang terdapat tulisan “CAUTION 9-11”. Misteri bukan? Adakah ini hanya satu kebetulan? Sebenarnya jika anda merajinkan diri melakukan sedikit kajian, anda akan mendapati bahawa terdapat sejumlah filem yang diterbitkan sebelum tahun 2001 cuba menyampaikan mesej yang sama dengan memaparkan secara jelas nombor 9 & 11 untuk beberapa saat. Adakah ini semua masih satu kebetulan? Fikir-fikirkanlah!
Allah berfirman pada ayat 46 surah al-Hajj:
“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada”.
sumber:duniamuslim.my
sumber:duniamuslim.my
Ahmad Mujahid Mohd Asri
Sarjana Muda Syariah (Universiti Malaya)